Soal bahasa sering diperkatakan tanpa henti. Isu bahasa juga timbul tidak mengikut musim. Tidak seperti musim pilihan raya atau musim buah-buahan. Kalau ada banyak bendera parti di kiri kanan jalan, itu maknanya musim pilihan raya. Kalau ada bau durian dan nampak buah duku, buah manggis dan sebagainya di pasar itu maknanya musim buah-buahan. Tetapi kalau kita nampak papan tanda, sepanduk, atau papan iklan di mana -mana tak kira di jalan raya atau atas bangunan itu tidak bermakna musim bahasa. Cuma, yang bercakap
geger tentang bahasa ialah mereka yang prihatin akan bahasa atau mungkin mereka yang
reti bahasa sahaja.
Bahasa pasar, bahasa slangga, bahasa rojak sudah biasa kita dengar dan akan didengar sampai bila-bila. Bahkan boleh jadi sampai mati. Kalau tidak tak akan ada mata pelajaran bahasa di sekolah waima bahasa Inggeris, bahasa Jepun atau apa-apa juga bahasa yang ada dalam dunia. Oleh sebab bahasa itu alat komunikasi, maka orang menggunakan bahasa untuk berinteraksi secara lisan atau tulisan dan boleh difahami. Oleh itu, badan yang bertanggungjawab dalam bahasa itu tentulah berusaha bukan sahaja untuk memperkembang bahasa itu tetapi juga untuk mempermudah penggunaannya.
Sekadar untuk dijadikan cerita, jika perkataan itu sudah biasa digunakan dan dieja sedemikian mengapa pula ditukar menyebabkan ramai orang jadi keliru. Kalau dulu "kereta api" dieja "keretapi" mengapa sekarang telah diubah kepada
kereta api. Bukankah keretapi satu istilah kenderaan yang senang ditulis menjadi satu kata sahaja (train). Penggubal istilah memberi pelbagai alasan bagi mengukuhkan hujah istilah bahasa Inggeris boleh dijadikan panduan dalam membentuk kata istilah bahasa Melayu sehingga perkataan "
belanjawan" sudah ditukar kepada
"bajet",
Kaji cuaca telah ditukar kepada "
meteorologi",
kedai makan menjadi "
restoran" dan banyak lagi. Kalau di Indonesia, kesesakan jalan raya disebut "
macet", hanya satu perkataan.
Bagi kata sendi "
sama ada" dulu diterima
samada, tetapi sekarang sudah salah. Kita selalu sebut
masaalah tetapi kita tulis "
masalah" sahaja. Bukankah ini pelik?. Satu lagi yang pelik ialah '
autobayar'. Mana ada perkataan
autobayar dalam Kamus Dewan, tetapi sebuah pusat beli belah gergasi di Kuala Lumpur dibenarkan penggunaannya. Perkataan
auto ialah singkatan daripada perkataan
automatik yang bermaksud sesuatu yang bergerak atau sesuatu yang berlaku dengan sendiri. Penggunaannya jelas salah dan ini sudah jadi "
auta" (bermaksud tidak sungguh-sungguh atau temberang). Oleh itu, jika kita mahu melihat bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah mengapa pula kita buat sesuatu hukum bahasa yang menyusahkan atau penggunaan yang berpilih-pilih. Selain itu, apakah pula istilah bahasa Melayu untuk
LRT (
Light Railway Transit)?. Adakah orang ramai menyebut, "Saya naik
transit aliran ringan?"
Sebenarnya banyak lagi perkara yang berbangkit tentang penggunaan bahasa. Hal ini belum termasuk istilah komputer. Saya ingin bertanya, berapa ramai kita menyebut, "Saya hendak beli
cakera keras' ketika berurusan di kedai komputer. Atau kita memberitahu juruteknik komputer," Komputer saya ada masalah
cakera lembut!". Jika '
mouse' menjadi '
tetikus' masih boleh diterima walaupun tidak ramai yang menyebut sedemikian. Begitu juga beberapa istilah komputer, perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan bidang-bidang lain.
Seterusnya, jika adapun kecenderungan untuk memendekkan perkataan yang asalnya daripada dua atau tiga perkataan seperti kaji cuaca menjadi 'meteorologi', mengapa '
website' telah dimelayukan menjadi '
laman sesawang' ?. Untuk membaca alamat
laman sesawang, tidak pula pihak RTM menyebut, "Sila layari laman sesawang,
w w w titik RTM titik g o v titik my. Adakah sukar atau janggal untuk menukarkan perkataan
dot ke bahasa Melayu menjadi
titik?. Bahkan ada yang menyebut m y sebagai "mai' dan ada yang menyebut m y sahaja.
Apakah ada satu kaedah sebutan baku untuk perkataan yang berkaitan dengan perkataan Inggeris seperti ini?
Saya masih ingat semasa di bangku sekolah. Seorang guru bahasa Inggeris pernah berkata, "language is mad". Tetapi bagi saya bahasa itu tidak gila , cuma orang yang mempelajari bahasa itu boleh jadi gila!"