Visitor

Khamis, 27 Mac 2014

SPM: "Berapa A awak dapat ?"

Hampir seminggu yang lalu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dikeluarkan. Pihak sekolah yang mempunyai calon SPM telah menyediakan analisis pencapaian masing-masing. Pihak Lembaga Peperiksaan pun telah mengeluarkan kenyataan dan ulasan berkaitan pencapaian calon-calon  seperti tahun-tahun sebelumnya.
Bagi pelajar yang berjaya mencapai banyak A atau A+ akan terlonjak-lonjaklah kegembiraan. 

          Dalam media sama ada akhbar atau televisyen tergambarlah wajah-wajah ceria meraikan kejayaan. Tiada satu pun gambar atau visual dirakam bagi mereka yang menangis kehampaan atau meraung-meraung kerana tidak memperoleh A . Sama ada pangkat A, B, C, atau D adalah skala yang diberi untuk mengukur pencapaian daalam peperiksaan. Tegasnya mereka tetap lulus. Hal ini bermakna setiap pelajar tahu akan kekuatan dan kelemahan masing-masing. Mereka berasa puas dari apa yang telah mereka usahakan. Pencapaian mengikut gred hanya ukuran pengetahuan yang diberi dari kertas jawapan semata-mata dan bukan ukuran mutlak. Mereka yang mendapat A+ misalnya tidak bermakna mereka tahu semua apa yang dipelajari di sekolah. Merka yang mendapat E juga tidak bererti mereka tidak bijak. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang mereka sendiri tahu.

          Hampir semua pelajar telah melalui proses ujian atau penilaian ini. Sebenarnya pelajar-pelajar sedar di mana tahap pencapaian mereka. Sebelum peperiksaan sebenar, mereka telah melalui pelbagai program motovasi, kem-kem kecemerlangan, seminar-seminar dan sebagainya untuk membantu mereka meningkatkan pencapaian. Jika mereka sedar dan bersedia awal, dengan izin Allah kejayaan akan terserlah.

          Kita juga harus sedar bahawa dalam usaha  mengejar kecemerlangan, berapa banyak A akan menjadi ukuran orang . Di sekolah, guru-guru selalu bertanya berapa banyak pelajarnya mendapat A+, A, atau A-. "Berapa A awak dapat?" adalah soalan lazim yang diajukan kepada calon. Apabila pulang ke rumah atau menemui rakan atau ahli keluarga soalan yang sama akan diajukan.

         Prestasi sekolah dikatakan meningkat jika banyak calonnya mendapat A atau GPSnya meningkat jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Guru-guru dan pengetua turut senyum  hingga ke pipi jika pencapaian sekolah meningkat. Nama sekolahnya gah dalam senarai PPD dan Pejabat pelajaran Negeri masing-masing.

        Apakah banyaknya A melambangkan kecemerlangan segala-segalanya?. Bagi pelajar terlibat, Gred Purata Sekolah (GPS) tidak memberi apa-apa makna kepada mereka. Mereka hanya berfikir, ke mana mereka akan terus meneruskan pelajaran atau mencari pekerjaan untuk survival dalam hidup. 

       Hakikat yang perlu diterima ialah, kecemerlangan dalam pelajaran bukanlah jaminan mutlak dalam hidup. Sebagai golongan muda dan remaja, banyak cabaran akan ditempuh. Yang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, teruskanlah. Yang tidak cemerlang atau kurang pencapaian tidak bermakna akan gelaplah masa depan. Mereka ada banyak ruang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pelbagai program disediakan sama ada di kolej-kolej, politeknik, di institusi kemahiran, dan sebagainya kepada mereka yang mempunyai kelayakan dan memerlukan syarat kemasukan yang minima. Peluang mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi tetap ada. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih adalah dua peribahasa yang amat sinonim dengan situasi ini.

         Bagaimana halnya dengan pelajar yang kurang cemerlang tetapi terpaksa memilih untuk mencari rezeki atau bekerja dalam usia muda?. Mereka adalah antara anak muda yang berjuang untuk membantu keluarganya kerana kesempitan hidup. Mereka ini seakan-akan tidak diberi penghargaan atau pengiktirafan. Kita menjadi seperti zirafah yang hanya melihat atau menilai di bahagian atas sahaja kerana di atas itulah yang terbaik. Adakah kita sedar bahawa, ada pelajar  yang kurang cemerlang ini  terpaksa bekerja demi menanggung ibu dan adik-adiknya atau menjaga  bapa  yang miskin dan uzur. Kegigihan dan pengorbanan mereka cukup hebat, tetapi  tiada siapa yang ambil peduli. 

         Berdasarkan pengalaman lalu, kita dapati ada antara pelajar ini  telah berjaya mencipta kejayaan sendiri. Mereka akhirnya berjaya menjadi usahawan atau berjaya menubuhkan syarikat sendiri. Ramai antara mereka yang mempunyai pendapatan  jauh lebih baik daripada mereka yang dahulunya cemerlang dan belajar sampai ke menara gading.  Ringkasnya, kejayaan seseorang itu tidak bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi perlu ada keazaman, keyakinan dan kekuatan mental dan fizikal bagi berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

       Akhir sekali syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya mencapai impian dengan kegigihan dan kesabaran walau apa pun keputusan yang diperoleh. Sebenarnya anda telah berjaya menempuh ujian dan berani menghadapi cabaran.

       

Selasa, 11 Februari 2014

Kekeliruan Penggunaan Perkataan 'Baru' dengan 'Baharu'

Banyak kekeliruan timbul dalam penggunaan perkataan bahasa Melayu. Dalam usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu nampak jelas indah khabar dari rupa. Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan masih belum mantap. Kekeliruan masih berlaku di sana sini. Apa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ?

         Mari kita lihat satu daripadanya, iaitu penggunaan perkataan 'baharu' dan 'baru'. Kalau kita membaca akhbar-akhbar Melayu  tempatan  amat jelas kekeliruan itu. Penggunaanya tidak konsisten. Penjelasan DBP tentang masalah ini bahawa 'baru' dengan 'baharu' adalah berbeza dari segi makna. Hal ini dapat dilihat melalui ayat-ayat berikut::

1. Ayah saya membeli baju baharu.
2. Ayah saya baru sampai di rumah.

Dalam ayat 1 jelas bahawa baharu merujuk kepada frasa nama iaitu baju. Baru dalam ayat ini juga merupakan kata adjektif (sifat nama). Dalam ayat 2, penggunaan baru adalah berbeza. Baru dalam ayat 2 merujuk kepada kata kerja iaitu sampai. Oleh itu baru dalam ayat 2 juga berfungsi sebagai kata bantu.

       Kamus Dewan Edisi 3 jelas memperkatakan aspek ini. 'Baru/baharu didefinisikan sebagai belum (tidak) ada sebelumnya, (yang belum lama wujud). Namun demikian,melalui terbitan atau ruangan yang lain , DBP membezakan dua perkataan ini dengan membandingkannya dengan ayat bahasa Inggeris seperti contoh berikut:

1 a. Ayah saya membeli baju baharu (My father bought a new shirt).
2 b. Ayah saya baru sampai di rumah (My father just arrived at home)

          Hal ini bermakna 'baru' dan 'baharu' tidak boleh bertukar ganti sebagai kata adjektif (sifat).

Oleh yang demikian, berdasarkan contoh di atas, 'baharu' bermaksud  'new' manakala 'baru' bermaksud 'just'. Saya masih berpegang kepada konsep ini. Malahan kebelakangan ini ada kecenderungan pihak media penyiaran seperti radio dan televisyen  menggunakan perkataan 'baharu' seperti Tahun Baharu Cina, Selamat Pengantin Baharu dan sebagainya. Hal ini adalah perkembangan yang baik dalam memberi penggunaan perkataan yang tepat bagi membezakan 'baru dengan 'baharu'. Malangnya dalam Kamus Dewan Edisi 4:2005 (terkini), perkataan  'baru' dan 'baharu'  didefinikan mempunyai  makna yang sama. Jika ada produk yang baru dikeluarkan di pasaran atau dijenamakan semula, misalnya adakah  Sabun Baharu atau Sabun Baru, keluaran terbaru atau keluaran terbaharu. Jika penggunaan baru dan baharu  dianggap sebagai varian atau unsur pilihan ini bermakna tidak ada suatu ketetapan yang boleh diterima secara total dan jadilah bahasa cacamarba. Mana-mana pengeluar boleh menggunakan produk mereka sama ada baru atau baharu.

        Dalam masa yang sama, laman sesawang DBP melalui kolum Khidmat Bahasa  DBP juga menjelaskan  bahawa 'baru' dan 'baharu' adalah sama dari segi makna. Misalnya ungkapan 'Selamat Tahun Baru/Baharu'.

         Persoalannya, mengapakah  penggunaan dua perkataan yang hampir sama ini berbeza atau tidak seragam?. Jika hal seumpama ini boleh berlaku tidak hairanlah banyak lagi perkataan lain akan berubah penggunaannya. Apakah peranan  DBP  dalam soal perkembangan dan pembakuan bahasa Melayu seterusnya.

Khamis, 30 Januari 2014

Aduhai Cikgu: Hukuman Biarlah Berpada-pada

Nampaknya isu berkaitan dengan guru mendenda murid menjadi hangat. Kejadian seorang guru mendenda dua pelajar makan rumput di Perak mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak. Khabarnya, guru berkenaan diarahkan bertukar ke sekolah lain. Peristiwa itu telah berlaku dan diharap akan berlalu dengan mengambil  pengajaran atau ikhtibar termasuk dari kalangan guru sendiri.
         Apa yang hendak dipersoalkan ialah laporan-laaporan akhbar yang menggambarkan kejadian mendenda murid seperti itu sebagai satu kesalahan yang amat buruk, teruk dan memalukan. Benarkah murid-murid tersebut telah diikat leher mereka dengan loceng dan disuruh makan rumput macam lembu?. Apakah dengan tidak melakukan kerja sekolah murid tahun empat itu didenda begitu rupa?.  Kita mengetahui kejadian ini hanya melalui  media , gambaran sebenar mungkin tidak sama seperti apa yang dilaporkan.
         Amat malang sekali, ada pihak yang kurang puas hati dengan tindakan Jabatan Pelajaran Negeri  Perak yang mengambil tindakan dengan  menukarkan guru  berkenaan ke sekolah lain. Mereka mahu tindakan yang lebih keras diambil termasuk memecat jawatan guru tersebut. Ada juga mencadangkan supaya guru ini ditukarkan lebih jauh seperti kesalahan jenayah berat.

          Pihak NGO-NGO  ini   dilaporkan tidak bersetuju  dengan hukuman yang telah diambil oleh jabatan yang bertanggungjawab. Berlandaskan situasi ini, tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau  berdasarkan perkauman, saya berpendapat bahawa guru berkenaan juga perlu mendapat pembelaan yang sepatutnya. Adakah pihak yang tidak bersetuju ini sedar bahawa tugas guru di sekolah amat berat dan sering kali menerima tekanan dari pihak pentadbir sekolah dan jabatan. Mungkin atas faktor ini, guru tersebut bertindak sedemikian. Guru ini  mungkin mengalami masalah kecelaruan emosi sama ada di rumah atau di tempat kerja. Dalam masa yang sama juga , guru ini   mungkin ingin melihat sesuatu hasil yang baik atau keberhasilan yang tinggi dalam pengajarannya walaupun jika dipandang sepintas lalu tindakannya sebagai tidak wajar dengan memperlakukan muridnya sedemikian rupa. Kesalahan pelajar yang dilakukan sebelum itu juga perlu diambil kira jika ada walaupun boleh dianggap sebagai bukan kesalahan disiplin.

         Sehubungan dengan itu, kepada pihak-pihak yang terlalu 'exited'  terhadap peristiwa ini khususnya NGO  diharap dapat membuat justifikasi yang adil dan tidak mengikut emosi keterlaluan. Hal ini kerana dunia pendidikan sekarang  amat mencabar dengan bebanan tugas guru yang bertimbun-timbun. Tanyalah kepada mereka yang berada dalam dunia pendidikan ini termasuklah dari pegawai -pegawai di Jabatan Pelajaran sendiri apakah peranan guru. Janganlah kerana marahkan  nyamuk seekor, kelabu dibakar.

         Jika hendak melihat keseriusan kesalahan mendenda murid sedemikian rupa, cubalah lihat juga apakah hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada guru-guru yang mencabul murid, guru yang mencederakan murid termasuk yang menyebabkan kematian. Di manakah marwah seorang Guru Besar yang melakukan pecah amanah dengan menyalahguna kuasa dan melibatkan wang kerajaan beribu-beribu ringgit seperti mana yang berlaku sebelum ini?. Apakah reaksi NGO ?

        Oleh yang demikian, pihak-pihak yang berkepentingan perlu melihat isu ini secara komprehensif supaya tidak berlaku penganiayaan hanya melibatkan satu dua  kesalahan atau kes. Bukan atas dasar sentimen perkauman seperti PERKASA.  Lagipun, guru ini masih muda, dan sebagai orang muda tentu tidak  banyak pengalaman. Guru ini  mempunyai semangat yang tinggi untuk mencapai objektif pengajarannya berbanding guru yang sengaja tidak ambil peduli tentang kemajuan pembelajaran.   Beliau perlu diberi bimbingan  yang  sesuai. Kita perlu sedar bahawa kerjaya guru bukan suatu kerjaya yang mudah. Sebagai analoginya, jika seseorang doktor tersilap melakukan pembedahan, mungkin akan melibatkan kematian pesakit, inikan pula kesilapan seorang guru demi kemajuan murid-muridnya.