Visitor

Isnin, 11 Mac 2013

Apa Ada Pada Janji?


Sejak akhir-akhir ini kita didendangkan dengan perkataan ‘janji’. Kalau berjanji, perlulah ditepati. Kalau tidak menepati janji, bermakna berbohong, penipu atau sebagainya. Seorang pemuda berjanji akan mengahwini kekasihnya.  Apa akan jadi, jika kekasihnya tidak dapat menunaikan janjinya kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Adakah perempuan itu bersabar menerima kenyataan, terus memutuskan hubungan, atau membuat laporan polis?

Dalam politik,menabur  janji amat popular. Janji boleh menjadi alat untuk banyak perkara yang hanya boleh diterjemahkan oleh orang politik sahaja. Ada golongan ibu tunggal menagih janji. Ada satu golongan lagi yang menuntut janji kerana ada pihak yang gagal membekalkan air percuma dan membayar yuran Tadika anak mereka seperti yang diharapkan hingga kecoh satu kampung, satu negeri, satu negara. Mereka marah, bertempik malah ada menangis meratap dan kecewa. Mereka mendakwa itu hak mereka, berdemontrasi sana sini dan masuk televisyen. Tak malunya orang kita menagih wang semata-mata janji yang diharapkan kerana janji yang tidak ditepati. Yang bertempik itu ramai orang Melayu. Yang menonton itu orang bukan Melayu. Orang China dan India yang berjaya itu asalnya adalah daripada mereka yang dahulunya  sanggup bekerja siang malam di bengkel,di ladang dan di lombong  yang akhirnya mereka kaya raya dan tidak perlu lagi meminta-minta. Harta mereka  berjaya diwarisi oleh anak cucu mereka. Perniagaan mereka kukuh tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

Sampai bila orang kita akan berkelakuan demikian? Tak dapat duit  RM 50.00 atau RM200 pun jadi bising hingar bagar. Jika diteliti, mereka ini sebenarnya bukanlah golongan terlalu miskin macam di India atau di Somalia. Belum ada orang Malaysia setakat ini yang mati kelaparan atau yang terpaksa tinggal di bawah jambatan. Dalam kalangan mereka ini mungkin ada yang tidak mengharapkan sangat tetapi dieksploitasi oleh mereka yang berkepentingan sehingga heboh satu Malaysia. Mereka adalah golongan yang tidak layak menerima bantuan. Terima sahajalah hakikat dan berusahalah sendiri.

Ada sesetengan pihak menganggap bahawa politik itu ‘kotor’. Orang politik tentu tidak bersetuju kerana pandangan yang bercanggah dengan perjuangan mereka. Memang ada ahli politik yang baik dan jelas perjuangannya. Ahli politik ini berpegang atas dasar membela rakyat,  membantu rakyat dan sebagainya untuk rakyat. Tidak kurang juga ahli politik yang mengambil peluang mengumpul kekayaan dengan menipu dan mencari kesempatan daripada kebodohan rakyat. Buktinya, ada pemimpin politik kena cekup kerana membawa wang berjuta-juta ringgit ke luar negara. Pemimpin politk yang lain pula dapat membeli rumah untuk isterinya berjuta-juta ringgit dengan cara yang salah. Dia jadi kaya bukan kerana politik sahaja tetapi banyak pelihara 'toyol'.

Persoalananya adakah kerajaan pilihan rakyat  tidak membela rakyatnya. Semua kerajaan yang memerintah di dunia ini mempunyai tanggungjawab membantu rakyatnya dalam apa keadaan saja sekalipun hingga ada kerajaan yang bangkrap semata-mata untuk menjadi kerajaan populis. Kerajaan Greece pun pernah bangkrap. Kerajan Malaysia ada perkiraan sendiri, belum muflis.

Hakikatnya, kita diajar dengan cara menyuapkan makanan ke mulut dari sejak dulu hingga sekarang. Salah siapa? Kesannya ialah ada yang telah lalai dan leka akan tanggungjawab membantu diri sendiri sebelum orang lain membantu mereka. Mereka sepatutnya berikhtiar memajukan diri. Kita juga sedar bahawa golongan yang berjaya dengan usaha sendiri memang ada dan telah keluar dari kemelut kemiskinan walaupun jumlahnya tidak banyak. Mungkin generasi muda sekarang sudah menikmati hasil usaha kerajaan memberi pendidikan dan pelbagai kemudahan bagi mengubah hidup mereka. Ini antara langkah yang  telah dilakukan sejak dahulu tetapi kenapa ada lagi golongan yang tidak sedar diri seolah-olah mereka perlu sentiasa dibantu sampai bila-bila. Jika tidak dibantu lantas melawan arus jadi penentang kerajaan. Mahu tidak mahu kerajaan terpaksa menyuap nasi ke mulut mereka supaya mereka tidak terpekik melolong.

Akhirnya kerajaan sudah dapat formula, iaitu  kalau nak terus berkuasa, rakyat yang suka meminta ini perlu disuap sampai bila-bila. Hendak baiki rumah, kerajaan tolong, hendak bayar yuran anak, kerajaan tolong. Hendak beli buku, kerajaan tolong. Pendek kata kerajaan kena tolong semua. Situasi ini sama seperti zaman 60-an dahulu, nak berakpun kerajaan tolong buatkan tandas. Hal ini belum lagi diterajui oleh kerajaan berkebajikan slogan terbaharu parti politik menggunakan nama Islam. Mungkin apabila kena saman kerajaan kebajikan ini  akan tolong jelaskan. Dan apabila mencuri kerajaan berkebajikan akan tolong maafkan. Dosanya akan diampunkan. Sebabnya menyokong parti menggunakan Islam dijamin masuk syurga!.

Jumaat, 8 Mac 2013

Majalah-majalah DBP Dalam Kenangan


Ketika mengiringi pelajar-pelajar ke Pesta Buku di Kuala Terengganu baru-baru ini saya tidak sengaja singgah di gerai buku  DBP. Beberapa jenis majalah terbitan DBP ada di situ. Saya tercari-cari majalah Pelita Bahasa yang menjadi kegemaran saya walaupun saya sudah lama tidak melanggan majalah ini. Majalah yang membincangkan isu-isu bahasa terkini ini sebenarnya banyak membantu saya mempelajari selok belok bahasa Melayu . Dulu, saya berlanggan majalah ini secara pos selama tiga tahun dan saya menjilid sendiri untuk dijadikan koleksi dan rujukan saya sendiri. Selepas itu saya hanya membeli sekali sekali apabila terjumpa di kedai-kedai buku. Sekarang ini majalah Pelita Bahasa yang terbit pada tahun 1999-2001 masih ada dalam koleksi saya.
          Saya juga pernah menulis di akhbar dan  di majalah. Kalau tidak silap, satu hasil tulisan saya pernah disiarkan dalam ruangan Komentar, Pelita Bahasa pada April 2002 (klik di sini). Sungguh gembira hati saya apabila mendapat bayaran seratus ringgit untuk satu muka surat hasil tulisan itu. Saya bersemangat untuk  menulis lagi. Tetapi setelah dua tiga kali menulis, tulisan saya masih tidak disiarkan, lalu saya berhenti menulis. Saya sedar bahawa saya perlu terus menulis untuk memantapkan gaya penulisan. Walau bagaimanapun, saya mendapat pengalaman bagaimana untuk menghasilkan satu artikel yang berkesan dan berkualiti.
          Selain Pelita Bahasa, tidak lupa juga majalah Dewan Masyarakat yang  selalu saya baca untuk meneroka idea-idea bernas dari penulis-penulis yang  berkaliber ketika itu , antaranya  M. Noor Azam dan  Johan Jaafar (sekarang Dato’). Majalah ini juga saya anggap sebuah majalah yang mendewasakan saya. Saya mula kenal majalah ini ketika saya di darjah enam hingga ke sekolah menengah. Di rumah saya majalah tersebut  memang tersedia kerana dibaca oleh abang-abang saya ketika itu. Oleh sebab di rumah saya berkongsi meja untuk belajar, jadi sempatlah membelek mana-mana majalah atau buku yang ada. Masa itu saya tidak tahu apa-apapun tentang masalah orang Melayu dan hal-hal politik. Dalam masa yang sama, buku "Malay Dilema" pun saya sempat baca beberapa bab dan faham sedikit apa mesej yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Buku itu tebal. Begitu juga majalah-majalah terbitan DBP yang lain termasuk Dewan pelajar, hanya membaca dua tiga perenggan dan tengok gambar yang ada. Masa itu saya agak  saya dalam Darjah Empat. Yang paling saya tidak lupa ialah gambar kurikatur yang menunjukkan Dr. Mahadhir terbang macam superman yang di bawahnya ada (kalau tak salah) Tun Razak dan menteri-menteri lain sedang melambai tangan kepada superman yang terbang di angkasa. Masa itupun saya tidak tahupun  siapakah Tun Dr Mahathir sebagaimana hari ini.
          Sebenarnya, pengalaman membaca majalah amat membantu saya meningkatkan pencapaian akademik  dan memotivasikan saya untuk menimba ilmu hingga ke tahap sekarang .
          Hakikatnya, bahasa Melayu kini  menghadapi banyak cabaran. Sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, bahasa Melayu  mengalami proses transformasi yang pesat . Pada peringkat ini terasa bahawa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amat besar dalam mengembang dan mendaulatkan bahasa Melayu. Malangnya, dari pengalaman saya mengajar di  sekolah, masih banyak pelajar  tidak  tahu akan peranan serta usaha yang dilaksanakan oleh DBP. Misalnya, jika mereka tidak tahu ejaan yang betul pun, mereka tidak menyemak atau merujuk kepada buku-buku atau majalah  terbitan DBP, apatah lagi Kamus Dewan.

          Sepatutnya semua pelajar peringkat sekolah rendah atau menengah diwajibkan menggunakan majalah-majalah terbitan DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Siswa dan lain-lain sebagai teks tambahan bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu sesuai dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris!.

Sabtu, 16 Februari 2013

Siapa Perompak Wang Rakyat ?



Ketika pulang dari Kuala Lumpur, saya berhenti bersembahyang Maghrib  di sebuah masjid di Cerating, Kuantan. Secara tidak sengaja, saya didatangi oleh seorang tua  sekiatar 60-an. Dia nampak sedang bersungut sesuatu ketika keluar dari masjid. Masa itu saya baru selesai solat  dan duduk di tangga bersama rakan-rakan lain sementara menunggu isteri selesai . Ketika berjalan  mendapatkan seliparnya yang  terletak hampir dengan tempat saya duduk itu,  dia bertanya,

“Encik tahu tak siapa perompak wang rakyat dalam Malaysia nih?".

Saya termangu-mangu seketika kerana diajukan soalan  oleh orang yang saya tak kenal tetapi tetap tersenyum sekadar menghormati. Saya hanya sempat menggeleng kepala .

“Siapa yang ajar semua ini?” tanyanya lagi memperlihatkan sesuatu yang mengecewakan.
Saya diam. Tunggu jawapan.

‘Itulah Najib, perompak wang rakyat terbesar.” katanya sambil berlalu dari situ. Kata-katanya berakhir di situ dan berlalu pergi.

          Ketika memandu pulang ke Kemaman, saya teringat akan kata-kata lelaki itu. Kata-katanya membuatkan saya berfikir sendiri serta  tertanya-tanya mengapa dia menuduh  demikian.

          Saya cuba mengingati kembali  senario itu  semula kerana sebelum lelaki itu menghampiri saya sambil  bersungut kerana katanya di  masjid itu kerap berlaku kecurian. Ada saja wang dalam tabung masjid hilang. Mungkin atas sebab itu ketika melihat saya dia melepaskan geramnya dengan bertanyakan soalan itu.

          Persoalan yang timbul di sini ialah, mengapa dia mengaitkan kecurian dengan Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri?. Setelah merenung beberapa ketika,  saya dapat membuat tanggapan bahawa inilah gara-gara daripada fahaman politik menghasut yang telah meresap masuk dalam pemikiran orang ramai. Tidak sangka juga saya perbuatan menuduh orang atau menghina orang sempat juga dilakukan selepas  atau baharu sahaja selesai sembahyang. Islam tidak mengajar umatnya bersangka buruk  dengan orang apatah lagi sesama Islam.

          Yang jelas dari apa yang saya alami itu memperlihatkan bahawa  budaya memburuk-burukkan pemimpin  dari kalangan orang Melayu  khasnya adalah datang dari dakyah  pemimpin-pemimpin politik Melayu sendiri. Betapa malang sekali, apabila budaya berpolitik tuduh menuduh, memfitnah, benci membenci, dimanipulasi dan dipersepsikan dalam media dan ceramah politik hampir setiap hari sehingga terbawa-bawa dalam masjid yang mulia itu. Pemikiran masyarakat telah dikelirukan. Pengikut yang naïf dan taksub selalunya mendengar apa sahaja kata pemimpin mereka tanpa memikirkan fakta  sama ada benar atau fitnah. Natijahnya masyarakat jadi pecah belah.

          Jika benar tidak suka kepada Najib sekalipun, mengapa kaitkan dengan kecurian?. Bahkan jika berlaku di Kelantan sekalipun, negeri diperintah oleh PAS,  kita tidak salahkan Dato'  Nik Aziz.  Apa kena mengena kecurian di masjid dengan Nik Aziz atau Najib?.  Mereka semua pemimpin yang dipilih oleh rakyat.  Jadi, di sinilah bagi saya, nampak betapa buruknya sikap dan perangai ‘orang kita ‘ apabila berpolitik. Mereka tidak berfikir secara rasional walaupun bukan semua begitu. Pokoknya  pemikiran sedemikian adalah kesan daripada propaganda politik. Najib dikatakan perompak wang rakyat, kerajaan rasuah dan sebagainya. Kalau benar Najib perompak, dia tidak akan berada dalam negara ini. Lebih baik lari, mungkin dia boleh selamat. Itu baru betul-betul perompak, penyamun, pencuri dan yang 'sewaktu dengannya'. Kita perlu berfikir secara rasional. Kita ada mahkamah, bawa sahaja kes ke mahkamah. Kita ada SPRM, buat laporan. Badan yang ditubuhkan oleh kerajaan ini boleh memainkan peranan mereka mengikut akta yang ada. Buktinya, sudah banyak ahli politik kena saman dan didakwa kerana rasuah dan salah guna kuasa.

        Akhir kata, sebagai rakyat Malaysia yang tahu baik buruk dan natijah dari perangai individu yang menjadi punca pecah belah, kita perlu berfikiran positif  dan mengelakkan diri dari terpengaruh dari dakyah sedemikian, yang akhirnya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada masyarakat. Jika beria-ia sangat hendak berpolitik, carilah tempat atau platform yang sesuai dan berpolitiklah secara sihat dan berhemah.

Ahad, 10 Februari 2013

Bahasa Klasik dalam Bahasa Melayu yang Kacau


Sebermula, setelah beberapa lama hamba berkelana, maka teringatlah akan hamba tentang apa-apa pesanan guru hamba ketika hamba menuntut ilmu bahasa di tempat mengaji  tinggi itu. Adapun guru hamba itu amat cakna akan bahasanya iaitu bahasa Melayu. Maka banyaklah hamba menumpang ilmu akan dia. Adapun bahasa dulu-dulu itu dikatakan bahasa klasik yang menggantikan akan dia bahasa kuno itu. Shahadan , bahasa klasik itu tidaklah dipakai orang lagi. Maka digantikan dengan bahasa Melayu moden macam sekarang ini. Akan tetapi bahasa Melayu yang dikata moden atau baharu itu banyaklah akan cacat celanya, tidak baku, tidak termanai banyaknya. maka dikhabarkanlah orang, bahasa rojak, bahasa campur atau macam-macam lagi.
      Arakian, setelah sekian banyak orang mengutuk akan dia, banyaklah tulisan-tulisan dalam media yang memperkatakannya. Tidak kuranglah dari mereka yang tahu bahasa sedikit-sedikit mahupun mereka yang tidak reti akan bahasanya. Maka di Terengganu itu, yang tidak beradap dan buruk peranaginya  lebih masyhur dengan panggilan 'tak reti basa'.
Dikatakan orang  amatlah hairan bin ajaib tentang orang yang bercakap bahasa Melayu itu  kerana sudah 55 tahun merdeka tidaklah fasih akan bahasa itu. Ada yang mengata sangat penatlah cikgu yang mengajar akan bahasa itu tetapi tiada juga yang tahu gunanya, waima sebutan mahupun ejaannya. Yang bangsa Melayupun ada yang tidak reti bahasanya. Jika ia bukan Melayu bertambah teruklah jadinya, hampir gila babi.
    Jika mahu akan buktinya, maka ada banyaklah . Yang dikatakan darah maka disebutnya 'dara'. Yang dikatakan menampal poster maka disebutnya 'menampar poster'. Yang datangnya dari bahasa Inggeris amatlah banyak juga dan bercampurlah macam rojak ayam. Sos cili disebut dan ditulis 'cili sos', stadium mini disebutnya 'mini stadium', begitulah lebih kurang misalnya. Sampai bilakah masalah bahasa rojak akan selesai.

Khamis, 7 Februari 2013

Kemiskinan dan Kekayaan Hak Milik Siapa?

Salah seorang rakan Facebook saya memuatkan grafik  dengan memetik kata-kata Bill  Gates, jutawan terkenal Amerika Syarikat:

"If you born poor,
it's not your mistake,
but if you died poor, 
it's your mistake".

       Ungkapan ini  begitu  menarik bagi saya berbanding ungkapan lain dalam FB  yang mengetengahkan politik keterlaluan, ungkapan  kasih sayang meluat dan  gambar makanan yang baru disumbat ke perut. Bagi saya, kata-kata daripada seorang yang luar biasa ini dan  pengasas perisian  "Microsoft" dengan  kekayaan yang dimiliki sekarang  pastinya mempunyai makna yang mendalam. Jika dikaitkan  dengan kemelut pemikiran segelintir orang  Melayu  hari ini memang ada isu yang boleh diketengahkan. Adakah kita dapat berubah untuk memgharungi kehidupan yang lebih sempurna atau sebaliknya. Adakah orang Melayu perlu sentiasa diberi 'tongkat' untuk bersaing dalam dunia globalisasi atau sebaliknya.
         Saya lebih berminat untuk memperkatakan aspek ini dalam dunia sosiologi berbanding  dunia politik. Sebab, jika dibahaskan berdasarkan  politik , di mana-mana negara pun masalah kemiskinan tetap ada. Dalam negara komunis sekalipun kemiskinan masih wujud kerana ahli sosiologi berpendapat bahawa kemiskinan adalah sesuatu yang amat subjektif. Hal ini berlaku kerana proses modenisasi bergerak seiring dengan perkembangan globalisasi. Sesiapa yang tidak sanggup berhadapatan dengan gelombang pembangunan akan ketinggalan. Oleh itu, mahu tidak mahu hakikat ini terpaksa kita terima.
          Sejarah Bill  Gates bermula daripada seorang pelajar yang hampir menghadapi masalah pembelajaran. Dia juga hampir gagal dalam ujian Matematiknya tetapi akhirnya  cemerlang dalam Matematik. Dia berjaya membuktikan keupayaannya dengan melakukan sesuatu yang baharu dan dapat  memberi keuntungan dalam hidupnya. Justru, kejayaan hidupnya bukan setakat galakkan dari kedua-dua ibu bapanya tetapi kerana  dia mempunyai idea kritif dan inovatif. Ramai mengakui bahawa kejayaannya adalah hasil daripada kesungguhannya menjayakan sesuatu kerja yang tidak terfikir oleh orang lain yang akhirnya menjadi kenyataan. Sesungguhnya, aspek 'interinsics motivation" amat penting dalam proses perubahan tingkah laku seseorang.
         Pada peringkat permulaan, dia sering menghadapi masalah sama seperti usahawan yang lain tetapi dia yakin dengan usahanya. Sebagai anak muda yang sentiasa berfikiran positif , dia tidak mudah mengaku kalah. Dia terus mencuba dan mencuba. Kesungguhnannya menceburkan diri dalam bidang perisian komputer ketika itu mungkin tidak  terfikir  oleh orang sekelilingnya sehinggalah orang menyedari bahawa ideanya yang dikongsi bersama rakannya  telah  memberi manafaat kepada  manusia di seluruh dunia.
          Konklusinya, setiap orang ada potensi yang tersendiri untuk menempah kejayaan. Pakar-pakar dari teori pembelajaran juga bersetuju  bahawa kejayaan bukan bermula dari proses kognitf semata-mata, tetapi kejayaan juga adalah dari persekitaran atau proses sosialisasi yang dialaminya. Kata pepatah, kalau benih yang baik, jika jatuh ke lautan akan menjadi pulau.  Sebenarnya, kesungguhan yang ditunjukkan  oleh tokoh ini boleh memberi pengajaran kepada kita  bagaimana untuk 'survive' dan mencapai kejayaan lebih cemerlang. Kadang-kadang terlintas juga difikiran saya persoalan bahawa adakah kita dilahirkan untuk menjadi kaya serta  memberi kebahagiaan kepada orang lain atau dilahirkan  untuk masuk syurga semata-mata ?.

Rabu, 23 Januari 2013

Siapa Ulama Sebenar (2)

Sebelum ini saya telah menulis siapa sebenarnya ulama (disebut ulama'). Dalam bahasa mudah ulama ialah cendekiawan agama, tahu hukum hakam agama, pakar rujuk. Ulama adalah orang yang paling dihormati kerana ilmunya. Maknanya dari segi bahasa, kalau dia banyak ilmu dalam agama, disebut ulama agama. Kalau banyak ilmu dalam matematik dikatakan ulama matematik dan seterusnya. Tetapi orang kita sudah sinonim dengan panggilan ulama sahaja yang merujuk kepada ulama agama .
          Satu lagi  jenis ulama ialah ulama politik. Ulama jenis ini sememangnya arif dalam agama berdasarkan tahap akademiknya serta ketokohannya. Tetapi, dia dan pengikutnya sedar bahawa  politik adalah ciptaan manusia manakala agama adalah ciptaan Tuhan. Apabila ulama (agama) masuk politik, maka jadilah dia ulama politik. Maknanya ulama yang menggunakan agama untuk politik. Oleh yang demikian, segala hujahnya bukan sahaja bersandarkan hukum agama bahkan bersandarkan kepentingan politik. kata orang 'gergaji dua mata' !. Ada pandangan mengatakan jika pemimpin menggunakan agama untuk politik  kedudukannya amat berbahaya kerana mempertaruhkan agama untuk survive berpolitik.
          Apabila ada ulama yang memberi pandangan yang memihak kepada kerajaan, maka dikatakan itu ulama upahan, ulama setan bisu. Apabila ulama ini mengiakan apa-apa  sahaja pandangan ulama politik, maka ulama ini dipuji kerana dia adalah ulama sebenar, memperjuangkan Islam.
          Hari ini sudah terang lagi bersuluh bahawa ulama yang main politik dengan agama sudah jadi kacau dan bercelaru. Bukan sahaja pandangannya sudah bercelaru bahkan pengikutnya juga mengalami kecelaruan yang teruk. Mungkin hampir sama dengan penyakit H1NI1. Pendek kata, kalau pandangan pemimpinnya sudah sesat, dia pun jadi sesat bahkan dia tidak mengaku dan sedar yang dia sebenarnya telah disesatkan oleh pemimpinnya.
          Pada zahirnya pemimpin mereka tidak sesat kerana berserban tebal dan berketayap dan berjubah, tetapi pandanganya tersasar dari perjuangannya yang asal. Penampilannya macam ikan celup tepung, Apabila pemimpinnya dihentam bertubi-tubi kerana kesesatannya, pengikutnya pula mempertahankan pandangan pemimpinnya bermati-matian. Sebenarnya, Allah amat kaya dan Maha Mengetahui, setelah  pemimpinnya dihentam bertubi-tubi sehinggga lembek, pengikutnya tadi terpinnga-pinga iaitu sempadan antara celaru dengan sasau. Akhirnya pemimpin pujaan mereka kembali ke pangkal jalan. Mereka pun kembali juga akhirnya. Mereka mengaku bahawa hujah mereka selama ini adalah salah.  Jadi, nampak sangat betapa taksubnya seseorang yang memuja pemimpin yang kononnya berjihad kerana Islam, tetapi kosong belaka.
          Ringkas cerita, soal untuk mempertahankan satu kalimah "Allah " sahaja sudah bercelaru, bukan kerana perjuangkan Islam yang sangat luas itu tetapi kerana perjuangkan politik. Tidakkah pemimpin yang sama ini juga berkata bahawa kita tidak boleh memisahkan politik dengan agama, jika seseorang itu memisahkan politik dengan agama maka  dia jadi kafir. Semua orang jadi takut.  Sekarang siapakah yang kafir?, Barangkali sebagai jalan terakhir untuk selamatkan diri ialah membetulkan hujahnya semula bahawa politik suku, agama suku, baru betul. Alangkah hinanya ulama jenis ini jika masih ada di dunia ini .