Visitor

Sabtu, 16 November 2013

Nasib Tulisan Jawi: Adakah Sudah Sampai Ke Penghujung ?

Sebenarnya saya telah berfikir banyak kali untuk menulis tentang tulisan Jawi. Isu ini timbul tenggelam dan sekarang apabila terbaca tulisan Kunta Kunte dalam Berita Harian ( BH ) mengenai tulisan jawi terasa juga hendak meluahkan pendapat. Saya bukan pakar dan bukan aktivis tulisan Jawi walaupun sejak di bangku sekolah saya amat meminati tulisan Jawi. Saya sekarang boleh menulis dan membaca tulisan Jawi walaupun saya tidak bersekolah Arab.

         Persoalannya ialah, mengapakah  orang Melayu sudah tidak mempedulikan tulisan Jawi? Sudah sekian lama dan peibagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan penggunaan tulisan Jawi namun tidak ada perkembaangan  malah semakin malap. Sudah banyak diperkatakan orang dalam media sosial atau media massa. Bagi pandangan saya, kita jangan menyalahkan pemimpin sahaja sebab pemimpin memang ramai yang pandai berkokok tapi tidak semua  apa yang dijanjikan atau diperjuangkan  terhasil.




         Memang benar tulisan Jawi adalah tulisan orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu lagi, kata orang, sejak Tok Nadur berkajang kain. Berbeza dengan bahasa lain, bahasa Melayu mempunyai dua bentuk tulisan iaitu tulisan Rumi dan tulisan Jawi. Tulisan Jawi yang diambil daripada aksara Arab dan ditambah dengan beberapa aksara lagi bagi disesuaikan dengan sebutan Melayu. Semasa kedatangan Islam, tulisan Jawi  begitu gah dan dijadikan wahana komunikasi di Nusantara. Kemudian diikuti dengan akhbar dan majalah yang menggunakan tulisan Jawi. Semasa saya berumur lima tahun saya sempat melihat sebuah majalah bertulisan Jawi. Waktu itu saya masih ingat saya belum tahu membaca. Mengikut sejarah, akhbar seperti 'Warta Malaya' dan majalah-majalah hiburan  bertulisan Jawi. Bahkan beberapa dekad sebelum itu karya-karya sastera yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh agama bertulisan Jawi termasuklah karya Munsyi Abdullah yang dianggap sebagai Bapa Kesusasteraan melayu Moden.
          Ketika kedatangan British, Bahasa Melayu mula diajarkan di sekokah-sekoah dengan menggunakan aksara dan nombor roman . Kemudian, perkembangan dalam bidang percetakan khususnya selepas pasca kemerdekaan, telah menyebabkan lebih banyak bahan bacaan dicetak dalam tulisan Rumi. Ada pendapat menyatakan bahawa, menulis atau mengeja  dengan tulisan Rumi lebih mudah berbanding menulis dengan tulisan Jawi. Anggapan ini sama ada benar atau tidak terserah kepada individu.
        Kini zaman telah berubah, perkembangan komunikasi elektronik berkembang pesat. Semua orang mengakui bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dan bahasa Melayu juga turut  berkembang dengan tulisan roman (Rumi) . Kebiasaannya, tulisan Jawi hanya digunakan ketika menulis hal-hal berkaitan keagamaan atau oleh pelajar sekolah agama sahaja. Lebih menyedihkan pelajar yang belajar agama pun menulis nota atau menjawab soalan Pendidikan Islam  dengan tulisan Rumi. Tidak banyak yang 'berani' menulis Jawi. Namun demikian, dalam kertas jawapan  peperiksaan Bahasa Melayu SPM, saya pernah menemukan   beberapa orang calon yang menjawab  karangan dalam tulisan Jawi tetapi ejaannya amat teruk dan tidak konsisten. Mereka ini mungkin calon persendirian dari kalangan guru agama yang boleh dikenali melalui kad pengenalan mereka.

        Rentetan  itu, melalui pemerhatian, guru-guru agama  pun membaca akhbar arus perdana yang bertulis Rumi ini. Bukan alasan tiada akhbar bertulisan Jawi. Sebelum Utusan Melayu menghadkan keluaran sekali seminggu kemudian dijadikan sisipan dalam Utusan Malaysia  pun guru aliran agama ini lebih suka membaca Berita Harian atau Utusan Malaysia. Sekarang ini, bahagian sisipan yang bertulisan Jawi ini langsung tidak disentuh dan seolah-olah  layak dijadikan alat untuk  menyapu habuk sebelum disumbat dalam tong sampah.

         Fenomena yang saya perkatakan di atas ialah antara sebab mengapa tulisan Jawi semakin ditinggalkan. Faktor ini merupakan faktor dominan dan mudah untuk mencari petunjuk mengenai nasib tulisan Jawi yang selalu diperkatakan. Bagi saya, fakta yang lain ialah nasib tulisan Jawi hanya  mampu bertahan dengan menumpang bahasa Arab apabila  menulis Jawi. Selain aksara Arab itu kita bolehlah berbangga dengan  menambah enam lagi huruf termasuk "ga" daripada "kaf" dibubuh satu titik, "pa" daripada 'fa" tambah dua titik, "nga" daripada 'ain" ditambah tiga titik, "va" daripada "wau" ditambah satu titik di atas (untuk mengeja televisyen) menjadi tulisan Jawi kita sendiri !.

         Nampaknya usaha Pak Matlob dalam memperjuangkan dan memartabatkan nasib tulisan Jawi tidak menampakkan hasil.  Begitu juga peranan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi badan berautoriti dalam perkembangan bahasa Melayu masih tidak mampu mempertahankan dan memperkembangkan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Punca yang jelas hanya satu iaitu perkembangan teknologi maklumat yang memerlukan kaedah berkomunikasi yang pantas mengakibatkan tulisan Rumi menjadi pilihan. Bagaimana hendak mengeja John, Joseph, variasi, konotasi dan kata pinjaman lain ke tulisan Jawi. Hal ini belum termasuk mengeja perkataan Melayu yang biasa digunakan yang sentiasa berubah dan mengelirukan . Adakah mengeja 'saya' sebagai 'sin, alif, ya'  atau 'sin, 'alif'. ya, 'alif'?. Bagaimana untuk mengeja puasa, atau puas?. Perkataan 'tonton' ,'tuntun' , 'liwat' dan 'lewat' yang ejaan Jawinya adalah sama sahaja tetapi mempunyai sebutan dan makna yang berbeza jika ditulis dalam ejaan Rumi. Begitu juga  dalam  ejaan Rumi perbezaan makna dapat dikesan dengan mudah walaupun ada juga perkataan yang  ejaannya sama tetapi mempunyai makna berbeza (homonim). Semuanya ini  menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan tulisan Jawi memerlukan satu kaedah ejaan yang lebih mantap dan konsisten.

         Oleh yang demikian bagi meneruskan kesinambungan tulisan Jawi, kita dapati bahawa  pihak berkuasa hanya mampu menggunakannya sebagai penghias papan tanda (signboard) dan mengadakan pertandingan menulis seni khat saban tahun. Bahkan banyak papan tanda yang bertulisan Jawi menggunakan ejaan yang salah. Selain itu seni huruf Jawinya (khat) tidak dititikberatkan dan kadang-kadang nampak macam tulisan Jepun !.

        Akhir kata, kita tidak perlu bertegang leher semata-mata untuk mempertahankan satu bentuk tulisan yang bukan milik asal kita. Bangsa Melayu ialah bangsa yang menerima pengaruh dari pelbagai bentuk dari luar baik dari segi agama, budaya dan tulisan juga. Hal ini sudah terbukti dalam sejarah.

Rabu, 16 Oktober 2013

Kisah Beruk Mamat dengan Mamat Beruk

Masa zaman kanak-kanak dulu, saya selalu melihat orang memetik kelapa dengan  beruk. Seorang penduduk kampung bernama Mamat mempunyai seekor beruk. Kerjanya mengambil upah memetik buah nyior dengan beruk. Buah nyior ialah nama yang selalu digunakan oleh penduduk kampung khususnya di Terengganu dan Kelantan. Beruknya sangat cekap memetik buah nyior. Bagi masyarakat kampung khususnya di Pantai Timur, kelapa ialah kegunaan harian. Bagi pemilik beruk ini, dia akan dibayar upah dengan kelapa juga atau dibayar wang tunai atas sekali perkhidmatan bergantung pada jumlah kelapa yang dipetik. Sekarang ini pun kita masih boleh melihat beruk memetik kelapa.


      Pekerjaan memetik kelapa amat mulia. Bukan sahaja dapat menampung hidup bahkan dapat menjimatkan masa, tenaga dan mungkin nyawa kerana memetik kelapa dengan memanjat  sangat bahaya apatah lagi pokok yang tinggi melangit.

       Kisah berikutnya ialah, apabila  selesai tugasnya, Mamat pulang dengan bergaya. Dia meletakkan beruk kesayangannya di atas basikal tuanya. Beruknya diam tidak meronta kerana dia sangat terlatih dan biasa dengan kerjayanya. Setiap kali dia melintasi kampung, beruk yang selalu diletakkan di hadapannya sentiasa menarik perhatian.
Suatu hari ada orang kampung bertanya,

 "Beruk siapa itu?'.
"Beruk Mamat", jawab salah seorang daripada mereka.
"Kenapa beruk Mamat?" tanya salah seorang yang berpura-pura jadi bengong.(bengong= bodoh, tidak tahu apa-apa -bahasa Indonesia)
"Sebab dia letak beruknya di hadapan. Beruk Mamatlah..."

        Masa itu saya baru mula  untuk belajar bahasa. Terfikir juga di fikiran saya bahawa masyarakat Melayu zaman dahulu pun peka dengan bahasa. Mereka sensitif tentang hukum bahasa. Hal ini bermakna, perkataan kata nama yang menjadi subjek disebut dahulu. Kalau Mamat Beruk memang kena dengan struktur frasa nama dan selalu disebut orang, misalnya, "rumah Mamat", "kereta Mamat"," anak Mamat" dan seterusnya yang menunjukkan bahawa beruk, rumah, kereta, dan anak adalah kepunyaan atau milik Mamat (belongs to Mamat). Frasa ini tidak sama jika dibandingkan dengan frasa bahasa Inggeris, Mamat's monkey, Mamat's house, Mamat's car dan seterusnya yang subjek (pembenda) disebut dahulu.  Setelah berfikir beratus kali saya yakin dengan konsep itu.

       Tidak lama selepas itu, saya terdengar berita Mamat yang membawa beruk di atas basikalnya menjadi heboh. Sebabnya ialah pada suatu hari ,orang kampung itu  tiba-tiba kecoh.
Ada yang berteriak, " Mamat beruk, Mamat beruk! ". Saya jadi hairan dan keliru. Saya bertanya kepada  salah seorang penduduk kampung. Dia memberitahu berlaku satu peristiwa pada hari Mamat meletakkan beruknya di belakang basikal ketika menuju ke tempat kerja. Beruknya meronta-ronta  menyebabkan Mamat terjatuh kerana terkejut. Kata orang, terkejut beruk. Nasib baik ramai datang membantu kalau tidak kepala Mamat akan dipulas macam buah kelapa . Beruk Mamat memang bengkeng (bengkeng= garang, bengis)

Akhir cerita, saya sempat bertanya kepada orang yang mula-mula saya berjumpa dahulu untuk bertanya tentang kisah beruk ini.

"Kenapa dulu Beruk Mamat , sekarang Mamat beruk?"
"Sebab dia letak beruknya di belakang!. Bukankah bodoh tindakannya. Perangainya pun macam beruk"
"Oo.. jadi Mamat beruklah?"

Saya berpura-pura bertanya untuk mendapat kepastian. Frasa "Mamat beruk" dengan "Beruk Mamat" boleh bertukar ganti.  Dari segi frasanya betul cuma maknya akan berubah. Yang pasti kita perlu sedar bahawa fungsi bahasa itu amat luas, bukan sahaja aspek morfologi dan yang lain lagi, malah aspek semantiknya juga.




Isnin, 7 Oktober 2013

Pencapaian Sekolah: Tanggungjawab Siapa?

Sekarang ini kita berada pada  hujung tahun. Kebiasaannya dalam tempoh dua atau tiga bulan terakhir sekolah sibuk mengadakan kelas-kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar mereka. Bermacam-macam jenama diberikan. Ada kem memperkasa, ada kem pecutan terakhir, ada kem lompatan saujana, ada seminar menjawab peperiksaan dan pelbagai lagi. Apa-apa pun, pihak sekolah bersama guru-guru sanggup buat apa sahaja demi meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar mereka. Siang malam  guru-guru berfikir untuk kemajuan sekolah masing-masing.

           Bagi sekolah rendah, guru yang mengajar tahun enam khususnya sudah boleh basuh tangan kerana UPSR sudah selesai. Tetapi di sekolah menengah tugas guru  terutama yang mengajar kelas peperiksaan belum senang duduk diam. Sekarang, peperiksan awam PMR, SPM, STPM sedang menanti. Malahan peperiksaan PMR yang sedang berjalan ini masih ada  guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang belum lagi diambil  siang malam mengadakan kelas tambahan. Begitu tinggi harapan golongan pendidikan ini demi anak bangsa, masyarakat dan negara. Di sebalik kegigihan ini bagaimana pula dengan pelajar dan ibu bapa?


        Umum tahu bahawa kejayaan sekolah bergantung kuat kepada keupayaan pelajar, komitmen guru-guru dan pentadbir sekolah dan disokong secara berterusan dari kalangan ibu bapa. Tiga faktor ini saling berkait dan tidak boleh dipisahkan. Jika pelajar rajin tetapi ibu bapanya tidak mahu membantu, ditambah lagi kegagalan pihak sekolah mengurus pelajar mereka , kejayaan tidak mungkin terserlah.

        Masalah yang tinggal sekarang, apabila semua pihak tampil berikhtiar untuk sama-sama berganding bahu termasuk pihak-pihak  berkepentingan seperti PIBG dan PPD, masalah pelajar masih belum dapat dipulihkan. Yang ponteng kelas tetap ponteng, yang tidur dalam kelas tetap nyenyak, yang tidak hadir  kelas bimbingan tetap dengan keangkuhannya. Akhirnya apabila keluar keputusan peperiksaan, apa yang diharapkan tidak mencapai matlamat!.

        Salah gurukah kerana tidak pandai mengajar. Salah gurukah kerana kurang kerjasama membangunkan sekolah. Salah gurukah kerana tidak mengajar bersungguh-sungguh walaupun sudah diberi gaji yang setimpal ?. Dalam mesyuarat post-mortem (bedah siasat) untuk mengkaji pencapaian keputusan peperiksaan misalnya, jika ada guru memberi alasan kelemahan pelajar, pengetua  tidak terima jawapan itu. Bukan salah pelajar tetapi guru. Guru tetap salah.

       Cubalah cari sekolah manakah yang tidak menghadapi masalah.  Bukan masalah sekolah yang sama tetapi masalah pelajar yang sama.  Masalah datang lewat, pelajar yang sama. Masalah ponteng kelas, pelajar yang sama, bahkan yang membabitkan masalah disiplih adalah daripada masalah pelajar yang sama. Tetapi dalam pengurusan, guru tetap salah!.

      Bilakah pihak berkepentingan (stake holders) dapat memahami hakikat ini. Justu, atas dasar transformasi pendidikan, kita percaya pihak-pihak yang sering menuding jari ini dapat duduk semeja dan mendengar secara komprehensif permasaalahan yang timbul. Adakah pihak pentadbir sekolah sebagai malaikat, semua tindakannya betul. Adakah principal is everything right? Sesungguhnya ilmu dan alam pendidikan amat luas dan perlu diterokai oleh semua pihak agar kekusutan dapat diungkaikan.

Jumaat, 4 Oktober 2013

Perkataan Yang Telah Mantap

           Banyak pelajar keliru tentang perkataan -perkataan yang perlu ditulis sabagai satu perkataan atau ditulis secara berpisah. Tatabahasa Dewan (Edisi Baharu) telah menetapkan hanya 14 jenis kata sahaja yang boleh ditulis sebagai satu perkataan. Perkataan-perkataan tersebut ialah:


  1. antarabangsa
  2. bumiputera
  3. jawatankuasa
  4. kakitangan
  5. kerjasama
  6. warganegara
  7. olahraga
  8. pesuruhjaya
  9. setiausaha
  10. sukarela
  11. suruhanjaya
  12. tandatangan
  13. tanggungjawab
  14. matahari.
Selain daripada perkataan yang tersenarai di atas, perkataan itu perlu ditulis secara terpisah. Oleh itu beberapa perkataan yang menjadi tanda tanya pelajar termasuklah kereta api, bahan api, sama ada, ibu bapa, rumah tangga dan lain-lain ditulis terpisah. Namun demikian perkataan seperti sukacita, cenderahati, cenderamata, sukaneka dll yang tidak dimasukkan dalam senarai seperti di atas tetapi dieja sebagai satu perkataan.

           Namun demikian, perkataan -perkataan lain antaranya yang ditulis terpisah perlu juga diambil perhatian walaupun kadang-kadang menjadi keliru. Contohnya:


  1. pasar raya bukan pasaraya atau pasarraya
  2. jalan raya bukan jalanraya (termasuklah hari raya, pilihan raya, hantu raya dan pelbagai raya lagi )
  3. kuat kuasa bukan kuatkuasa, penguatkuasa
  4. muat turun, muat naik bukan muatturun, muaturun, muatnaik.
  5. ambil alih bukan ambilalih
  6. alat tulis bukan alatulis.
  7. tengah hari bukan tengahari, tetapi dinihari ditulis sebagai satu perkataan, sama dengan matahari (sudah mantap).
         Senarai di atas adalah contoh sahaja. Dalam masa yang sama kita juga perlu tahu bahawa perkataan-perkataan ini boleh menerima imbuhan, sama ada awalan, akhiran, atau apitan. Apabila menerima imbuhan, perkataan-perkataan ini boleh dirapatkan atau ditulis sebagai satu perkataan.
Misalnya,

  1. kuat kuasa menjadi dikuatkuasakan, penguat kuasa, penguatkuasaan, dikuat kuasa
  2. muat turun menjadi dimuat turun, memuat turun
  3. ambil alih menjadi diambil alih, mengambil alin,  pengambilalihan.
  4. anak tiri menjadi dianaktirikan.
  5. rumah tangga menjadi berumah tangga.
  6. ibu bapa menjadi beribu bapa, keibubapaan 
Perlu juga dingatkan bahawa terdapat pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menggunakan ejaan yang betul pada kenderaan penguat kuasa masing-masing seperti:

        PENGUATKUASA
 Majlis Perbandaran Kemaman
  
          Kadang-kadang ada perkataan  ditulis rapat oleh pihak-pihak tertentu apabila dijadikan sebagai jenama atau nama khas, misalnya Pasaraya Maju, Dewan Bandaraya, Putrajaya, Universiti Putra Malaysia, mengikut sebagaimana ditetapkan atau didaftarkan.

Banyak lagi perkataan lain yang boleh disenaraikan di sini. Namun, melalui contoh-contoh ini diharap dapat dijadikan asas bagaimana mengeja  perkataan-perkataan tertentu yang membabitkan kata ganda.