Visitor

Isnin, 23 September 2013

Ayat: Ayat Pasif yang Keliru

Penguasaan aspek tatabahasa dalam kertas 1 PMR dalam kalangan pelajar masih lemah. Jika diteliti satu persatu dalam kertas jawapan objektif pelajar, jelas menunjukkan mereka masih lemah dalam aspek memilih ayat-ayat yang betul atau dalam konteks yang lain, ayat-ayat yang gramatis serta betul struktur bahasanya.

        Dengan mengambil contoh soalan nombor 25, kertas Peperiksaan Percubaan (Sumatif 3) Bahasa Melayu PMR baru-baru ini jelas menguji kemahiran pelajar dalam aspek ini. Pelajar dikehendaki  memilih ayat-ayat yang betul daripada empat pilihan jawapan yang diberikan.

Ayat I: Surat khabar Berita Harian itu belum dibaca oleh saya kerana terlalu sibuk.

        Banyak pelajar menganggap ayat ini betul. Pelajar perlu menilai satu persatu perkataan atau fasa yang ada dalam ayat tersebut. Jika dibaca sepintas lalu seolah-olah tiada kesalahan. Jika pelajar memahami hukum tatabahasa yang membabitkan ayat pasif yang ada kata ganti nama diri perlu berhati-hati.

Frasa  "dibaca oleh saya" merupakah bentuk ayat-ayat yang selalu ditulis sama seperti semasa mempelajari ayat aktif dan ayat pasif. Teliti contoh berikut ;

Ali menendang bola itu  (Ayat aktif), ditukarkan menjadi:
Bola itu ditentang oleh Ali. (Ayat pasif).

        Namun begitu perubahan subjek  yang membabitkan kata nama diri tidak sama:

1. Bola itu ditendang oleh saya,
2. Bola itu ditendang oleh kami
3. Bola itu ditendang oleh awak
4. Bola itu ditendang oleh kamu
5. Bola itu ditendang oleh mereka
6. Bola itu ditendang oleh pemain bola yang handal.

Berdasarkan enam ayat di atas, yang manakan ayat yang mengandungi kata ganti diri pertama, kedua atau ketiga?. Dalam masa yang sama pelajar juga perlu memahami jenis-jenis kata nama diri seperti saya aku, kamu dan sebagainya.

Jika terdapat kata nama diri pertama atau kedua dalam ayat pasif, perkataan tersebut perlu ditulis sebelum kata kerja. Dalam ayat ini kata kerja itu ialah 'ditendang'. Oleh itu ayat 1,2,3, dan 4 adalah salah, sepatutnya ditulis,
 Bola itu saya tendang.
Jika tidak melibatkan kata ganti diri pertama atau kedua bentuk ayat itu tidak perlu diubah sebagaimana  ayat 5 dan 6. Dalam ayat 5, mereka ialah kata ganti diri ketiga (betul).

Ada pelajar bertanya bagaimana kalau "ditendang" itu ditukarkan kepada tertendang, menjadi:

7. Bola itu tertendang oleh saya.

Ayat ini sudah  menjadi ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif dengan penerang, iaitu kata kerja tak transitif berawalan "ter" . Hal ini bermakna  perkataan tertendang boleh digunakan dengan kata ganti nama diri pertama (saya) berada selepas kata kerja.

Bola itu tertendang oleh saya (betul) dan samalah dengan  ayat yang diuji dalam ayat kedua  soalan tersebut:

Ayat II. Dengan semangat yang kental, kerja yang  berat itu terbuat oleh kami (betul).

Ayat III. Kasut yang kotor itu telah Siti basuh kerana dia hendak memakainya ke sekolah. (Salah)

Hal ini kerana  berdasarkan huraian di  atas sepatutnya "telah dibasuh oleh Siti"). Akhir sekali;

Ayat IV. Latihan matematik ini mesti kamu siapkan dan hantarkan kepada saya sekarang. (Betul, berdasarkan konsep yang sama seperti huraian di atas). Frasa 'hantarkan kepada saya' juga adalah betul kerana penggunaan kata sendi nama 'kepada' adalah tepat. Jangan keliru.


Oleh itu pilihan jawapan yang betul ialah  ayat II dan ayat IV sahaja.

Demikian serba sedikit yang dapat saya jelaskan kepada pelajar. Berhati-hatilah kerana soalan seperti ini sering memerangkap para pelajar. Selamat belajar.




Jumaat, 13 September 2013

Bahasa Melayu: Memudahkan atau Menyusahkan

Soal bahasa sering diperkatakan tanpa henti. Isu bahasa juga timbul  tidak mengikut musim. Tidak seperti musim pilihan raya atau musim buah-buahan. Kalau ada banyak bendera parti di kiri kanan jalan, itu maknanya musim pilihan raya. Kalau ada bau durian dan nampak buah duku, buah manggis dan sebagainya di pasar itu maknanya musim buah-buahan. Tetapi kalau kita nampak  papan tanda, sepanduk, atau papan iklan di mana -mana tak kira di jalan raya atau atas bangunan itu tidak bermakna musim bahasa. Cuma, yang bercakap geger tentang bahasa ialah mereka yang prihatin akan bahasa atau mungkin mereka yang reti bahasa sahaja.

         Bahasa pasar, bahasa slangga, bahasa rojak sudah biasa kita dengar dan akan didengar sampai bila-bila. Bahkan boleh jadi sampai mati. Kalau tidak tak akan ada mata pelajaran bahasa  di sekolah waima bahasa Inggeris, bahasa Jepun atau apa-apa juga bahasa yang ada dalam dunia. Oleh sebab bahasa itu alat komunikasi, maka orang menggunakan bahasa untuk berinteraksi secara lisan atau tulisan  dan boleh difahami. Oleh itu, badan yang bertanggungjawab dalam bahasa itu tentulah berusaha bukan sahaja untuk memperkembang bahasa itu tetapi juga  untuk mempermudah penggunaannya.

         Sekadar untuk dijadikan cerita, jika perkataan itu sudah biasa digunakan dan dieja sedemikian mengapa pula ditukar menyebabkan ramai orang jadi keliru. Kalau dulu "kereta api" dieja "keretapi" mengapa sekarang telah diubah kepada kereta api. Bukankah keretapi satu istilah kenderaan yang senang ditulis menjadi satu kata sahaja (train). Penggubal istilah memberi pelbagai alasan bagi mengukuhkan hujah istilah bahasa Inggeris boleh dijadikan panduan dalam membentuk kata istilah bahasa Melayu sehingga perkataan "belanjawan" sudah ditukar kepada "bajet", Kaji cuaca telah ditukar kepada "meteorologi", kedai makan menjadi "restoran" dan banyak lagi. Kalau di Indonesia, kesesakan jalan raya disebut "macet", hanya satu perkataan.


         Bagi kata sendi "sama ada" dulu diterima samada, tetapi sekarang sudah salah. Kita selalu sebut masaalah tetapi kita tulis "masalah" sahaja. Bukankah ini pelik?. Satu lagi yang pelik ialah 'autobayar'. Mana ada perkataan autobayar dalam Kamus Dewan, tetapi sebuah pusat beli belah gergasi di Kuala Lumpur dibenarkan penggunaannya. Perkataan auto ialah singkatan daripada perkataan automatik yang bermaksud sesuatu yang bergerak atau sesuatu yang berlaku dengan sendiri. Penggunaannya jelas salah dan ini sudah jadi "auta" (bermaksud tidak sungguh-sungguh atau temberang). Oleh itu, jika kita mahu melihat bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah mengapa pula kita buat sesuatu hukum bahasa yang menyusahkan atau penggunaan yang berpilih-pilih. Selain itu, apakah pula istilah bahasa Melayu untuk LRT (Light Railway Transit)?. Adakah orang ramai menyebut, "Saya naik transit aliran ringan?"

          Sebenarnya banyak lagi perkara yang berbangkit tentang penggunaan bahasa. Hal ini belum termasuk istilah komputer. Saya ingin bertanya, berapa ramai kita menyebut, "Saya hendak beli cakera keras' ketika berurusan di kedai komputer. Atau kita memberitahu  juruteknik komputer," Komputer saya ada masalah cakera lembut!". Jika ' mouse' menjadi 'tetikus' masih boleh diterima walaupun tidak ramai yang menyebut sedemikian. Begitu juga beberapa istilah komputer, perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan bidang-bidang lain.

          Seterusnya, jika adapun  kecenderungan untuk memendekkan perkataan  yang asalnya daripada dua atau tiga perkataan seperti kaji cuaca menjadi 'meteorologi', mengapa 'website' telah dimelayukan menjadi 'laman sesawang' ?. Untuk membaca  alamat laman sesawang, tidak pula pihak RTM menyebut, "Sila layari laman sesawang, w w w titik RTM titik g o v titik my. Adakah sukar atau janggal untuk menukarkan perkataan dot ke bahasa Melayu menjadi titik?. Bahkan ada yang menyebut m y sebagai "mai' dan ada yang menyebut m y sahaja.

           Apakah ada satu kaedah sebutan baku untuk perkataan yang berkaitan dengan perkataan Inggeris seperti ini?

Saya masih ingat semasa di bangku sekolah. Seorang guru bahasa Inggeris pernah berkata, "language is mad". Tetapi bagi saya bahasa itu tidak gila , cuma orang yang mempelajari bahasa itu boleh jadi gila!"

Rabu, 17 Julai 2013

Merokok: Ramadan yang Hilang Kerahmatan

Ramadan (Ramadhon) datang lagi. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kedatangan Ramadan seolah-olah membawa seribu rahmat. Dikatakan rahmat kerana bulan ini adalah bulan mulia bagi umat Islam. Bulan beramal atau beribadat lebih daripada bulan-bulan yang lain. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya juga suasana kemuliaan ramadan dicemari akan asap rokok.

          Agaknya apakah kelebihan kepada perokok-perokok ini sehinggakan kedatangan Ramadan tidak memberi sedikit pun kesedaran untuk berhenti merokok. Sudah diuar-uarkan orang banyak, bagi perokok inilah masa yang sesuai untuk bermuasabah dan berisqamah untuk berhenti dari amalam yang tidak berfaedah dan merugikan diri itu. Namun tidak ada titik noktah nampaknya.

          Sesekali rasa mual dan benci juga melihat gelagat perokok pada bulan puasa. Amalan seharian dengan menahan dari lapar dan dahaga akhirnya disumbat dengan merokok selepas berbuka. Ketika orang banyak berduyun-duyun melangkah ke masjid dan surau untuk sembahyang isyak dan terawih, mereka tidak ada rasa segan langsung menghembuskan asap rokok dalam kawasan masjid. Lebih menyakitkan hati ialah ada yang merokok sambil berjalan. Orang sekeliling yang lalu lalang tidak kira yang muda ,kanak-knak atau orang tua, terpaksa menahan nafas dan berpaling ke arah lain menahan asap rokok yang berbunga-bunga ke udara. Mereka yang tidak merokok ini sedar bahawa mereka akan menerima kesan lebih teruk dari perokok kerana terpaksa menghidu asap serta bau.



Bubuh lampu di atas pokok,
Anak kelicap membuat sarang;
Sudah tahu   bahaya merokok,
Janganlah hisap di hadapan orang.


         Sudah terang lagi bersuluh, kesan dari tabiat merokok yang membawa seribu satu penyakit sudah banyak diperkatakan. Apakah orang lain yang tidak merokok terpaksa menerima malapetaka dari perokok ini. Perokok bukan sahaja menzalimi diri sendiri tetapi mereka adalah perosak kepada orang lain. 

       Barangkali pada bulan mulia ini, pihak berkuasa agama bukan sahaja perlu menahan atau menyaman mereka yang tidak berpuasa pada siang hari bahkan mereka yang merokok dalam kawasan masjid terutamanya bulan puasa. Kawasan masjid adalah antara kawasan awam yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Atau, bagaimanakah cara sesuai dan praktikal yang perlu dilakukan kepada mereka yang tidak menghormati orang lain ini apatah lagi mencemarkan kesucian Islam itu sendiri.

        Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang masih tidak sedar akan tanggungjawab mereka kepada manusia dan Tuhan. Amin




Jumaat, 24 Mei 2013

Tahun Melawat Terengganu atau Tahun Melawati Terengganu ?.


Tahun 2013 telah disytiharkan sebagai Tahun Melawat Terengganu.  Pihak media giat memainkan peranan menguar-uarkan program kerajaan negeri ini. Slogan Tahun Melawat Terengganu atau negeri – negeri  lain di Malaysia kita sering dengar atau baca sama ada dalam televisyen, radio atau akhbar, samalah seperti slogan Tahun Melawat Malaysia sebelum ini.
                   Bagi kita  slogan ini tentulah merujuk kepada kempen bagi mempromosi sektor pelancongan. Slogan atau ungkapan ini juga  menjadi  lumrah sebagai daya penarik. Namun dalam aspek bahasa, slogan ini membawa impak dari segi morfologinya . Ahli-ahli bahasa ada yang memberi pandangan yang berbeza tentang ungkapan ini. Mereka berpendapat bahawa penggunaan perkataan ‘melawat’ tidak tepat sebaliknya  perkataan ‘melawati’  lebih tepat  mengikut struktur ayatnya. Cuba kita sama-sama teliti huraian seterusnya.
              
                  Perkataan  ‘melawat’ ialah  kata kerja tak  transitif kerana tidak memerlukan kata nama sebagai subjek. Hal ini kerana ‘melawat’ boleh berdiri sendiri tanpa objek tetapi perlu kata sendi nama untuk dihubungkan dengan kata nama ‘Terengganu’.  Dalam ayat yang lain, kita dapat membentuk ayat seperti , Perdana Menteri melawat ke kampung itu. Bentuk kata kerja yang lain juga memerlukan kata sendi sebagaimana ayat berikut:

1.     Samad memandang ke arah sawah yang terbentang itu.

      2.     Adik berjumpa dengan doktor

3.    Pada hari raya abang pulang ke kampung                                                                                          .

Perkataan memandang, berjumpa dan pulang ialah kata kerja tak transitif yang berawalan me, ber,tanpa imbuhan atau kata akar dan lain-lain) diikuti dengan frasa sendi nama sebagai pelengkap. Jika kata sendi digugurkan ternyata ungkapan tersebut adalah salah serta tidak gramatis. Teliti contoh di bawah:

1a.  Samad memandang arah sawah yang terbentang itu.

2b. Adik berjumpa doktor

3c. Pada hari raya abang pulang kampung.
                 

             Ayat 1,2,3  di atas  juga dikenali sebagai ayat pasif bentuk terikat iaitu kata sendi yang perlu hadir selepas kata kerja tak transitif. Jika kata sendi digugurkan seperti ayat 1a, 2b, dan 3c  bermakna ayat itu salah.
              Dalam konteks yang lain pula, perkataan melawati (kata kerja transitif) jika digunakan perlu diikuti dengan objek yang terdiri daripada kata nama iaitu  Terengganu (objek tepat). Hal ini dapat diperjelas dalam ayat-ayat berikut;


4.     Emak menghadiahi adik sebentuk cincin . ( adik ialah objek tepat).

5.     Hujan membasahkan tanah yang kering kontang itu. (tanah ialah objek tepat)

6.     Rumah itu dimasuki pencuri. (pencuri ialah objek tepat).
               
             Bagi mempastikan sama ada perkataan  tersebut ialah kata kerja transitif atau tidak, ayat itu boleh ditukar dalam bentuk ayat pasif atau sebaliknya

4 a. Adik dihadiahi sebentuk cincin oleh emak, (ayat pasif) atau Emak menghadiahkan sebentuk cincin    kepada adik (ayat aktif)

5b. Tanah yang kering  kontang itu dibasahi hujan . (Ayat pasif).

6 c. Pencuri memasuki rumah itu. ( Ayat aktif).


              Berdasarkan contoh-contoh yang dinyatakan, jelaslah ungkapan Tahun Melawat Terengganu sepatutnya ditulis sama ada , Tahun Melawat ke Terengganu , atau Tahun Melawati Terengganu. 

              Oleh itu, pihak berkuasa  tempatan atau kerajaan- kerajaan negeri perlu peka akan  penggunaan bahasa Melayu yang betul semasa memilih slogan atau nama sesuatu perisriwa.. Kekeliruan akan timbul jika digunakan oleh pelajar dalam penulisan. 
              
              Pelajar biasanya akan terikut-ikut dari  apa yang dilihat atau  didengar kerana mereka belajar bahasa biasanya melalui kebiasaan bukan belajar bahasa melalui penguasan ilmu seperti morfologi, sintaksis, semantic dan sebagainya.
             

               Sehubungan dengan itu, jika masalah ini berterusan pasti akan merumitkan lagi penguasaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh ada  pelajar-pelajar menulis, “Bapa memperolehi pendapatan lumayan (sepatutnya memperoleh), Ayah membeli kereta baru (sepatutnya baharu), Rumah itu diperbesarkan (sepatutnya diperbesar atau dibesarkan). Perkataan-perkataan ini adalah sebahagian daripada contoh perkataan yang selalu digunakan dalam konteks yang salah. Oleh yang demikian, jika kita mempunyai perasaan cinta akan bahasa kita, maka marilah  sama-sama membantu memperkasa bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara.