Visitor

Sabtu, 16 Februari 2013

Siapa Perompak Wang Rakyat ?



Ketika pulang dari Kuala Lumpur, saya berhenti bersembahyang Maghrib  di sebuah masjid di Cerating, Kuantan. Secara tidak sengaja, saya didatangi oleh seorang tua  sekiatar 60-an. Dia nampak sedang bersungut sesuatu ketika keluar dari masjid. Masa itu saya baru selesai solat  dan duduk di tangga bersama rakan-rakan lain sementara menunggu isteri selesai . Ketika berjalan  mendapatkan seliparnya yang  terletak hampir dengan tempat saya duduk itu,  dia bertanya,

“Encik tahu tak siapa perompak wang rakyat dalam Malaysia nih?".

Saya termangu-mangu seketika kerana diajukan soalan  oleh orang yang saya tak kenal tetapi tetap tersenyum sekadar menghormati. Saya hanya sempat menggeleng kepala .

“Siapa yang ajar semua ini?” tanyanya lagi memperlihatkan sesuatu yang mengecewakan.
Saya diam. Tunggu jawapan.

‘Itulah Najib, perompak wang rakyat terbesar.” katanya sambil berlalu dari situ. Kata-katanya berakhir di situ dan berlalu pergi.

          Ketika memandu pulang ke Kemaman, saya teringat akan kata-kata lelaki itu. Kata-katanya membuatkan saya berfikir sendiri serta  tertanya-tanya mengapa dia menuduh  demikian.

          Saya cuba mengingati kembali  senario itu  semula kerana sebelum lelaki itu menghampiri saya sambil  bersungut kerana katanya di  masjid itu kerap berlaku kecurian. Ada saja wang dalam tabung masjid hilang. Mungkin atas sebab itu ketika melihat saya dia melepaskan geramnya dengan bertanyakan soalan itu.

          Persoalan yang timbul di sini ialah, mengapa dia mengaitkan kecurian dengan Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri?. Setelah merenung beberapa ketika,  saya dapat membuat tanggapan bahawa inilah gara-gara daripada fahaman politik menghasut yang telah meresap masuk dalam pemikiran orang ramai. Tidak sangka juga saya perbuatan menuduh orang atau menghina orang sempat juga dilakukan selepas  atau baharu sahaja selesai sembahyang. Islam tidak mengajar umatnya bersangka buruk  dengan orang apatah lagi sesama Islam.

          Yang jelas dari apa yang saya alami itu memperlihatkan bahawa  budaya memburuk-burukkan pemimpin  dari kalangan orang Melayu  khasnya adalah datang dari dakyah  pemimpin-pemimpin politik Melayu sendiri. Betapa malang sekali, apabila budaya berpolitik tuduh menuduh, memfitnah, benci membenci, dimanipulasi dan dipersepsikan dalam media dan ceramah politik hampir setiap hari sehingga terbawa-bawa dalam masjid yang mulia itu. Pemikiran masyarakat telah dikelirukan. Pengikut yang naïf dan taksub selalunya mendengar apa sahaja kata pemimpin mereka tanpa memikirkan fakta  sama ada benar atau fitnah. Natijahnya masyarakat jadi pecah belah.

          Jika benar tidak suka kepada Najib sekalipun, mengapa kaitkan dengan kecurian?. Bahkan jika berlaku di Kelantan sekalipun, negeri diperintah oleh PAS,  kita tidak salahkan Dato'  Nik Aziz.  Apa kena mengena kecurian di masjid dengan Nik Aziz atau Najib?.  Mereka semua pemimpin yang dipilih oleh rakyat.  Jadi, di sinilah bagi saya, nampak betapa buruknya sikap dan perangai ‘orang kita ‘ apabila berpolitik. Mereka tidak berfikir secara rasional walaupun bukan semua begitu. Pokoknya  pemikiran sedemikian adalah kesan daripada propaganda politik. Najib dikatakan perompak wang rakyat, kerajaan rasuah dan sebagainya. Kalau benar Najib perompak, dia tidak akan berada dalam negara ini. Lebih baik lari, mungkin dia boleh selamat. Itu baru betul-betul perompak, penyamun, pencuri dan yang 'sewaktu dengannya'. Kita perlu berfikir secara rasional. Kita ada mahkamah, bawa sahaja kes ke mahkamah. Kita ada SPRM, buat laporan. Badan yang ditubuhkan oleh kerajaan ini boleh memainkan peranan mereka mengikut akta yang ada. Buktinya, sudah banyak ahli politik kena saman dan didakwa kerana rasuah dan salah guna kuasa.

        Akhir kata, sebagai rakyat Malaysia yang tahu baik buruk dan natijah dari perangai individu yang menjadi punca pecah belah, kita perlu berfikiran positif  dan mengelakkan diri dari terpengaruh dari dakyah sedemikian, yang akhirnya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada masyarakat. Jika beria-ia sangat hendak berpolitik, carilah tempat atau platform yang sesuai dan berpolitiklah secara sihat dan berhemah.

Tiada ulasan: