Visitor

Rabu, 31 Oktober 2012

Pendingin hawa atau penghawa dingin

Sebuah akhbar tempatan pada 29 Oktober yang lalu menarik perhatian saya.  Satu berita menceritakan kejadian sebuah rumah yang terbakar disebabkan oleh kerosakan penghawa dingin, berita seterusnya dalam halaman yang lain pula menceritakan keistimewaan sebuah kereta yang dilengkapi dengan pendingin hawa. Manakala satu iklan memaparkan satu jenama penghawa dingin yang mempunyai ciri-ciri istimewa. Yang mana satukah yang betul?
        Dalam panduan Pedoman Bahasa yang dikeluarkan oleh DBP, menetapkan bahawa 'pendingin hawa' sebagai betul. Kata pendingin hawa yang dipinjamkan daripada perkataan Inggeris, 'air-condition' merupakan frasa nama yang terbit atau berasal daripada dua jenis kata yang berlainan iaitu dingin dan hawa.
        Persoalan timbul ialah bagaimana  hukum DM (diterang dan menerangkan) dijadikan asas dalam pembentukan kata nama ini. Adakah 'dingin atau 'hawa' . Dalam bahasa Melayu kata nama (benda) mendahului kata adjektif, misalnya rumah baharu, budak hitam bukannya baharu rumah (new house) atau hitam budak (black boy) dan sebagainya. Berdasarkan rumus ini mengapakah DBP menggunakan kata 'dingin' sebagai kata adjektif (KA) menjadikan pendingin mendahului kata nama iaitu hawa? . Jika sebuah mesin digunakan untuk memanaskan sesuatu maka dikatakan mesin pemanas , begitu juga peti sejuk bukannya sejuk peti atau peti penyejuk. Mengapa peti sejuk tidak diterima sebagai 'penyejuk peti' dengan menambah kata imbuhan 'pe...' menjadi frasa nama.   Walau apapun, DBP sebagai badan berautoriti dalam mengembangkan bahasa Melayu mempunyai alasan tersendiri berkaitan masalah ini.                                                                                

Tiada ulasan: