Visitor

Selasa, 11 Februari 2014

Kekeliruan Penggunaan Perkataan 'Baru' dengan 'Baharu'

Banyak kekeliruan timbul dalam penggunaan perkataan bahasa Melayu. Dalam usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu nampak jelas indah khabar dari rupa. Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan masih belum mantap. Kekeliruan masih berlaku di sana sini. Apa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ?

         Mari kita lihat satu daripadanya, iaitu penggunaan perkataan 'baharu' dan 'baru'. Kalau kita membaca akhbar-akhbar Melayu  tempatan  amat jelas kekeliruan itu. Penggunaanya tidak konsisten. Penjelasan DBP tentang masalah ini bahawa 'baru' dengan 'baharu' adalah berbeza dari segi makna. Hal ini dapat dilihat melalui ayat-ayat berikut::

1. Ayah saya membeli baju baharu.
2. Ayah saya baru sampai di rumah.

Dalam ayat 1 jelas bahawa baharu merujuk kepada frasa nama iaitu baju. Baru dalam ayat ini juga merupakan kata adjektif (sifat nama). Dalam ayat 2, penggunaan baru adalah berbeza. Baru dalam ayat 2 merujuk kepada kata kerja iaitu sampai. Oleh itu baru dalam ayat 2 juga berfungsi sebagai kata bantu.

       Kamus Dewan Edisi 3 jelas memperkatakan aspek ini. 'Baru/baharu didefinisikan sebagai belum (tidak) ada sebelumnya, (yang belum lama wujud). Namun demikian,melalui terbitan atau ruangan yang lain , DBP membezakan dua perkataan ini dengan membandingkannya dengan ayat bahasa Inggeris seperti contoh berikut:

1 a. Ayah saya membeli baju baharu (My father bought a new shirt).
2 b. Ayah saya baru sampai di rumah (My father just arrived at home)

          Hal ini bermakna 'baru' dan 'baharu' tidak boleh bertukar ganti sebagai kata adjektif (sifat).

Oleh yang demikian, berdasarkan contoh di atas, 'baharu' bermaksud  'new' manakala 'baru' bermaksud 'just'. Saya masih berpegang kepada konsep ini. Malahan kebelakangan ini ada kecenderungan pihak media penyiaran seperti radio dan televisyen  menggunakan perkataan 'baharu' seperti Tahun Baharu Cina, Selamat Pengantin Baharu dan sebagainya. Hal ini adalah perkembangan yang baik dalam memberi penggunaan perkataan yang tepat bagi membezakan 'baru dengan 'baharu'. Malangnya dalam Kamus Dewan Edisi 4:2005 (terkini), perkataan  'baru' dan 'baharu'  didefinikan mempunyai  makna yang sama. Jika ada produk yang baru dikeluarkan di pasaran atau dijenamakan semula, misalnya adakah  Sabun Baharu atau Sabun Baru, keluaran terbaru atau keluaran terbaharu. Jika penggunaan baru dan baharu  dianggap sebagai varian atau unsur pilihan ini bermakna tidak ada suatu ketetapan yang boleh diterima secara total dan jadilah bahasa cacamarba. Mana-mana pengeluar boleh menggunakan produk mereka sama ada baru atau baharu.

        Dalam masa yang sama, laman sesawang DBP melalui kolum Khidmat Bahasa  DBP juga menjelaskan  bahawa 'baru' dan 'baharu' adalah sama dari segi makna. Misalnya ungkapan 'Selamat Tahun Baru/Baharu'.

         Persoalannya, mengapakah  penggunaan dua perkataan yang hampir sama ini berbeza atau tidak seragam?. Jika hal seumpama ini boleh berlaku tidak hairanlah banyak lagi perkataan lain akan berubah penggunaannya. Apakah peranan  DBP  dalam soal perkembangan dan pembakuan bahasa Melayu seterusnya.

Tiada ulasan: