Visitor

Khamis, 27 Disember 2012

Bahasa Melayu SPM: Apakah Tahap Cemerlang ?



Proses pemarkahan untuk kertas Bahasa Melayu 1 SPM 2012 telah selesai lebih  seminggu yang lalu. Proses semakan, ‘key-in’ markah  dan membungkus semula semuanya selesai. Ringkasnya kerja-kerja rutin dan tanggungjawab pemeriksa sudah ‘tutup kedai’ atau ‘basuh tangan’.

Pemeriksaan atau ‘marking’ kertas BM ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Agaknya kalau dibandingkan dengan kertas jawapan mata pelajaran lain, kertas  ini agak rumit. Sebabnya ialah, pemeriksa 'bermain' dengan bahasa, kata-kata, tulisan, tanda baca dan ejaan, ayat-ayat sehinggalah kepada wacana. Bukan angka-angka atau fakta seperti Sains dan Matematik. Pemeriksa perlu teliti, setiap ayat mesti dibaca dan setiap kesalahan perlu ditanda mengikut peraturan. Aras pencapaian sama ada cemerlang, kepujian, baik, memuaskan, tidak memuaskan dan sebagainya perlu dinyatakan. Bagi jawapan yang memenuhi kriteria atau tugasan serta memenuhi skema yang ditetapkan, maka calon itu layaklah diberi aras cemerlang.

      Bagi pemeriksa,  pemberian markah perlu adil, sesuai dengan hasil kerja calon ketika menjawab. Ada calon  amat lemah bahasanya dan langsung tidak menjawab tugasan, iaitu tidak menjawab mengikut kehendak soalan. Jika demikian, tahap  ‘tidak memuaskan’  diberi. Itupun pemeriksa perlu melihat sama ada layak Selain soalan bahagian A, soalan bahagian B BM kertas 1 benar-benar menguji keupayaan calon menjawab tugasan. Aspek tatabahasa pasti diambil kira walaupun tidak diberi keutamaan. Hal ini demikian kerana, mengikut format terkini, jika calon menjawab dengan bahasa yang baik, gramatis, kosa kata luas dan jelas beserta dengan contoh atau ungkapan menarik, tetapi tidak menjawab tugasan, idea tidak relevan, maka karangan itu tidak layak juga diberi cemerlang. Banyak calon menjawab dengan agak baik. Isinya mencukupi, gaya bahasanya lancar dan hanya terdapat kesalahan kecil bahasa sahaja, tetapi  huraian tidak jelas. Apatah lagi karangannya tidak mencukupi jumlah perkataan yang sepatutnya. Oleh itu 'impression' pemeriksa jadi ‘turun’ dan pelajar pastinya tidak akan mendapat markah yang diharapkan.

      Karangan cemerlang ialah karangan yang mendapat markah 80 -100. Ciri-ciri karangan cemerlang antara lain ialah mempunyai kosa kata yang luas dan matang serta ungkapan menarik. Calon-calon nampaknya berusaha memasukkan sebanyak mungkin kosa kata yang dianggap luas itu walaupun  tidak mencapai makna yang betul mengikut konteks ayat. Penggunaan peribahasa juga ada kalanya tidak menepati maksud ayat. Sekali imbas, perkataan-perkataan tersebut kadang-kadang sedap dibaca tetapi mempunyai maksud yang tidak tepat dan juga maksud yang  berulang. Sebagai contoh seorang calon menulis:

Rentetan itu, belum berkilat sudah berkilau membuktikan bahawa kurang pendidikan tentang kebersihan kawasan sekitar merupakan wahana masyarakat mengabaikan kebersihan ini.

Maksud wahana sebenarnya ialah alat. Penggunaaan perkataan wahana dalam ayat di atas jelas tidak tepat. Untuk menjadikan ayat tersebut gramatis dan kosa kata yang  tepat, calon perlu menulis sebagaimana contoh berikut:  
     Rentetan itu, sebagaimana peribahasa, belum berkilat sudah berkilau,  terbukti bahawa kurangnya pendidikan tentang penjagaan kebersihan kawasan sekitar merupakan punca masyarakat mengabaikan aspek kebersihan ini.

      Dari segi idea, ada calon tidak dapat membezakan dengan jelas  tentang “pencemaran  alam sekitar’ dengan ‘menjaga kebersihan’. Ada kalanya huraiannya bercampur aduk antara kedua-duanya atau dihuraikan bersandarkan  kepada punca   pencemaran alam sekitar sedangkan soalan memerlukan peranan pihak tertentu dalam menjaga kebersihan.

      Dalam konteks yang lain, kosa kata luas tidak bermakna menggunakan kata pinjaman seperti perkataan Inggeris. Jika benar-benar faham maknanya tiada masalah,  tetapi jika tidak pasti lebih baik elakan daripada menggunakannya malahan berkemungkinan tersilap eja. Contohnya, calon menulis kata   berikut:

Di samping itu, sikap masyarakat yang terlalu atruisme turut menyebabkan kebersihan kawasan sekitar menjadi terabai.

Sebenarnya perkataan yang sesuai dalam ayat ini ialah individualistik, iaitu sikap mementingkan diri sendiri.
  
       Ringkasnya, untuk mendapatkan tahap cemerlang dalam sesebuah karangan di peringkat SPM, pelajar-pelajar bukan sahaja perlu banyak membaca tetapi juga perlu rajin merujuk kamus bagi memantapkan pengetahuan kosa katanya. Latihan menulis yang kerap dapat melatih diri dalam memahami kehendak soalan di samping memperoleh kemahiran menggunakan bahasa yang lancar dan ayat yang betul tatabahasanya. Aspek lain yang perlu diambil berat ialah tulisan, tanda baca, format, pemerengganan, laras bahasa  dan gaya bahasa. Mudahan-mudahan pelajar-pelajar  dapat memperbaiki kelemahan yang ada. Selamat belajar.

Tiada ulasan: