Nampaknya isu berkaitan dengan guru mendenda murid menjadi hangat. Kejadian seorang guru mendenda dua pelajar makan rumput di Perak mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak. Khabarnya, guru berkenaan diarahkan bertukar ke sekolah lain. Peristiwa itu telah berlaku dan diharap akan berlalu dengan mengambil pengajaran atau ikhtibar termasuk dari kalangan guru sendiri.
Apa yang hendak dipersoalkan ialah laporan-laaporan akhbar yang menggambarkan kejadian mendenda murid seperti itu sebagai satu kesalahan yang amat buruk, teruk dan memalukan. Benarkah murid-murid tersebut telah diikat leher mereka dengan loceng dan disuruh makan rumput macam lembu?. Apakah dengan tidak melakukan kerja sekolah murid tahun empat itu didenda begitu rupa?. Kita mengetahui kejadian ini hanya melalui media , gambaran sebenar mungkin tidak sama seperti apa yang dilaporkan.
Amat malang sekali, ada pihak yang kurang puas hati dengan tindakan Jabatan Pelajaran Negeri Perak yang mengambil tindakan dengan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain. Mereka mahu tindakan yang lebih keras diambil termasuk memecat jawatan guru tersebut. Ada juga mencadangkan supaya guru ini ditukarkan lebih jauh seperti kesalahan jenayah berat.
Pihak NGO-NGO ini dilaporkan tidak bersetuju dengan hukuman yang telah diambil oleh jabatan yang bertanggungjawab. Berlandaskan situasi ini, tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau berdasarkan perkauman, saya berpendapat bahawa guru berkenaan juga perlu mendapat pembelaan yang sepatutnya. Adakah pihak yang tidak bersetuju ini sedar bahawa tugas guru di sekolah amat berat dan sering kali menerima tekanan dari pihak pentadbir sekolah dan jabatan. Mungkin atas faktor ini, guru tersebut bertindak sedemikian. Guru ini mungkin mengalami masalah kecelaruan emosi sama ada di rumah atau di tempat kerja. Dalam masa yang sama juga , guru ini mungkin ingin melihat sesuatu hasil yang baik atau keberhasilan yang tinggi dalam pengajarannya walaupun jika dipandang sepintas lalu tindakannya sebagai tidak wajar dengan memperlakukan muridnya sedemikian rupa. Kesalahan pelajar yang dilakukan sebelum itu juga perlu diambil kira jika ada walaupun boleh dianggap sebagai bukan kesalahan disiplin.
Sehubungan dengan itu, kepada pihak-pihak yang terlalu 'exited' terhadap peristiwa ini khususnya NGO diharap dapat membuat justifikasi yang adil dan tidak mengikut emosi keterlaluan. Hal ini kerana dunia pendidikan sekarang amat mencabar dengan bebanan tugas guru yang bertimbun-timbun. Tanyalah kepada mereka yang berada dalam dunia pendidikan ini termasuklah dari pegawai -pegawai di Jabatan Pelajaran sendiri apakah peranan guru. Janganlah kerana marahkan nyamuk seekor, kelabu dibakar.
Jika hendak melihat keseriusan kesalahan mendenda murid sedemikian rupa, cubalah lihat juga apakah hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada guru-guru yang mencabul murid, guru yang mencederakan murid termasuk yang menyebabkan kematian. Di manakah marwah seorang Guru Besar yang melakukan pecah amanah dengan menyalahguna kuasa dan melibatkan wang kerajaan beribu-beribu ringgit seperti mana yang berlaku sebelum ini?. Apakah reaksi NGO ?
Oleh yang demikian, pihak-pihak yang berkepentingan perlu melihat isu ini secara komprehensif supaya tidak berlaku penganiayaan hanya melibatkan satu dua kesalahan atau kes. Bukan atas dasar sentimen perkauman seperti PERKASA. Lagipun, guru ini masih muda, dan sebagai orang muda tentu tidak banyak pengalaman. Guru ini mempunyai semangat yang tinggi untuk mencapai objektif pengajarannya berbanding guru yang sengaja tidak ambil peduli tentang kemajuan pembelajaran. Beliau perlu diberi bimbingan yang sesuai. Kita perlu sedar bahawa kerjaya guru bukan suatu kerjaya yang mudah. Sebagai analoginya, jika seseorang doktor tersilap melakukan pembedahan, mungkin akan melibatkan kematian pesakit, inikan pula kesilapan seorang guru demi kemajuan murid-muridnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan