Visitor

Jumaat, 8 Mac 2013

Majalah-majalah DBP Dalam Kenangan


Ketika mengiringi pelajar-pelajar ke Pesta Buku di Kuala Terengganu baru-baru ini saya tidak sengaja singgah di gerai buku  DBP. Beberapa jenis majalah terbitan DBP ada di situ. Saya tercari-cari majalah Pelita Bahasa yang menjadi kegemaran saya walaupun saya sudah lama tidak melanggan majalah ini. Majalah yang membincangkan isu-isu bahasa terkini ini sebenarnya banyak membantu saya mempelajari selok belok bahasa Melayu . Dulu, saya berlanggan majalah ini secara pos selama tiga tahun dan saya menjilid sendiri untuk dijadikan koleksi dan rujukan saya sendiri. Selepas itu saya hanya membeli sekali sekali apabila terjumpa di kedai-kedai buku. Sekarang ini majalah Pelita Bahasa yang terbit pada tahun 1999-2001 masih ada dalam koleksi saya.
          Saya juga pernah menulis di akhbar dan  di majalah. Kalau tidak silap, satu hasil tulisan saya pernah disiarkan dalam ruangan Komentar, Pelita Bahasa pada April 2002 (klik di sini). Sungguh gembira hati saya apabila mendapat bayaran seratus ringgit untuk satu muka surat hasil tulisan itu. Saya bersemangat untuk  menulis lagi. Tetapi setelah dua tiga kali menulis, tulisan saya masih tidak disiarkan, lalu saya berhenti menulis. Saya sedar bahawa saya perlu terus menulis untuk memantapkan gaya penulisan. Walau bagaimanapun, saya mendapat pengalaman bagaimana untuk menghasilkan satu artikel yang berkesan dan berkualiti.
          Selain Pelita Bahasa, tidak lupa juga majalah Dewan Masyarakat yang  selalu saya baca untuk meneroka idea-idea bernas dari penulis-penulis yang  berkaliber ketika itu , antaranya  M. Noor Azam dan  Johan Jaafar (sekarang Dato’). Majalah ini juga saya anggap sebuah majalah yang mendewasakan saya. Saya mula kenal majalah ini ketika saya di darjah enam hingga ke sekolah menengah. Di rumah saya majalah tersebut  memang tersedia kerana dibaca oleh abang-abang saya ketika itu. Oleh sebab di rumah saya berkongsi meja untuk belajar, jadi sempatlah membelek mana-mana majalah atau buku yang ada. Masa itu saya tidak tahu apa-apapun tentang masalah orang Melayu dan hal-hal politik. Dalam masa yang sama, buku "Malay Dilema" pun saya sempat baca beberapa bab dan faham sedikit apa mesej yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Buku itu tebal. Begitu juga majalah-majalah terbitan DBP yang lain termasuk Dewan pelajar, hanya membaca dua tiga perenggan dan tengok gambar yang ada. Masa itu saya agak  saya dalam Darjah Empat. Yang paling saya tidak lupa ialah gambar kurikatur yang menunjukkan Dr. Mahadhir terbang macam superman yang di bawahnya ada (kalau tak salah) Tun Razak dan menteri-menteri lain sedang melambai tangan kepada superman yang terbang di angkasa. Masa itupun saya tidak tahupun  siapakah Tun Dr Mahathir sebagaimana hari ini.
          Sebenarnya, pengalaman membaca majalah amat membantu saya meningkatkan pencapaian akademik  dan memotivasikan saya untuk menimba ilmu hingga ke tahap sekarang .
          Hakikatnya, bahasa Melayu kini  menghadapi banyak cabaran. Sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, bahasa Melayu  mengalami proses transformasi yang pesat . Pada peringkat ini terasa bahawa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amat besar dalam mengembang dan mendaulatkan bahasa Melayu. Malangnya, dari pengalaman saya mengajar di  sekolah, masih banyak pelajar  tidak  tahu akan peranan serta usaha yang dilaksanakan oleh DBP. Misalnya, jika mereka tidak tahu ejaan yang betul pun, mereka tidak menyemak atau merujuk kepada buku-buku atau majalah  terbitan DBP, apatah lagi Kamus Dewan.

          Sepatutnya semua pelajar peringkat sekolah rendah atau menengah diwajibkan menggunakan majalah-majalah terbitan DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Siswa dan lain-lain sebagai teks tambahan bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu sesuai dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris!.

Tiada ulasan: