Visitor

Isnin, 11 Mac 2013

Apa Ada Pada Janji?


Sejak akhir-akhir ini kita didendangkan dengan perkataan ‘janji’. Kalau berjanji, perlulah ditepati. Kalau tidak menepati janji, bermakna berbohong, penipu atau sebagainya. Seorang pemuda berjanji akan mengahwini kekasihnya.  Apa akan jadi, jika kekasihnya tidak dapat menunaikan janjinya kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Adakah perempuan itu bersabar menerima kenyataan, terus memutuskan hubungan, atau membuat laporan polis?

Dalam politik,menabur  janji amat popular. Janji boleh menjadi alat untuk banyak perkara yang hanya boleh diterjemahkan oleh orang politik sahaja. Ada golongan ibu tunggal menagih janji. Ada satu golongan lagi yang menuntut janji kerana ada pihak yang gagal membekalkan air percuma dan membayar yuran Tadika anak mereka seperti yang diharapkan hingga kecoh satu kampung, satu negeri, satu negara. Mereka marah, bertempik malah ada menangis meratap dan kecewa. Mereka mendakwa itu hak mereka, berdemontrasi sana sini dan masuk televisyen. Tak malunya orang kita menagih wang semata-mata janji yang diharapkan kerana janji yang tidak ditepati. Yang bertempik itu ramai orang Melayu. Yang menonton itu orang bukan Melayu. Orang China dan India yang berjaya itu asalnya adalah daripada mereka yang dahulunya  sanggup bekerja siang malam di bengkel,di ladang dan di lombong  yang akhirnya mereka kaya raya dan tidak perlu lagi meminta-minta. Harta mereka  berjaya diwarisi oleh anak cucu mereka. Perniagaan mereka kukuh tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

Sampai bila orang kita akan berkelakuan demikian? Tak dapat duit  RM 50.00 atau RM200 pun jadi bising hingar bagar. Jika diteliti, mereka ini sebenarnya bukanlah golongan terlalu miskin macam di India atau di Somalia. Belum ada orang Malaysia setakat ini yang mati kelaparan atau yang terpaksa tinggal di bawah jambatan. Dalam kalangan mereka ini mungkin ada yang tidak mengharapkan sangat tetapi dieksploitasi oleh mereka yang berkepentingan sehingga heboh satu Malaysia. Mereka adalah golongan yang tidak layak menerima bantuan. Terima sahajalah hakikat dan berusahalah sendiri.

Ada sesetengan pihak menganggap bahawa politik itu ‘kotor’. Orang politik tentu tidak bersetuju kerana pandangan yang bercanggah dengan perjuangan mereka. Memang ada ahli politik yang baik dan jelas perjuangannya. Ahli politik ini berpegang atas dasar membela rakyat,  membantu rakyat dan sebagainya untuk rakyat. Tidak kurang juga ahli politik yang mengambil peluang mengumpul kekayaan dengan menipu dan mencari kesempatan daripada kebodohan rakyat. Buktinya, ada pemimpin politik kena cekup kerana membawa wang berjuta-juta ringgit ke luar negara. Pemimpin politk yang lain pula dapat membeli rumah untuk isterinya berjuta-juta ringgit dengan cara yang salah. Dia jadi kaya bukan kerana politik sahaja tetapi banyak pelihara 'toyol'.

Persoalananya adakah kerajaan pilihan rakyat  tidak membela rakyatnya. Semua kerajaan yang memerintah di dunia ini mempunyai tanggungjawab membantu rakyatnya dalam apa keadaan saja sekalipun hingga ada kerajaan yang bangkrap semata-mata untuk menjadi kerajaan populis. Kerajaan Greece pun pernah bangkrap. Kerajan Malaysia ada perkiraan sendiri, belum muflis.

Hakikatnya, kita diajar dengan cara menyuapkan makanan ke mulut dari sejak dulu hingga sekarang. Salah siapa? Kesannya ialah ada yang telah lalai dan leka akan tanggungjawab membantu diri sendiri sebelum orang lain membantu mereka. Mereka sepatutnya berikhtiar memajukan diri. Kita juga sedar bahawa golongan yang berjaya dengan usaha sendiri memang ada dan telah keluar dari kemelut kemiskinan walaupun jumlahnya tidak banyak. Mungkin generasi muda sekarang sudah menikmati hasil usaha kerajaan memberi pendidikan dan pelbagai kemudahan bagi mengubah hidup mereka. Ini antara langkah yang  telah dilakukan sejak dahulu tetapi kenapa ada lagi golongan yang tidak sedar diri seolah-olah mereka perlu sentiasa dibantu sampai bila-bila. Jika tidak dibantu lantas melawan arus jadi penentang kerajaan. Mahu tidak mahu kerajaan terpaksa menyuap nasi ke mulut mereka supaya mereka tidak terpekik melolong.

Akhirnya kerajaan sudah dapat formula, iaitu  kalau nak terus berkuasa, rakyat yang suka meminta ini perlu disuap sampai bila-bila. Hendak baiki rumah, kerajaan tolong, hendak bayar yuran anak, kerajaan tolong. Hendak beli buku, kerajaan tolong. Pendek kata kerajaan kena tolong semua. Situasi ini sama seperti zaman 60-an dahulu, nak berakpun kerajaan tolong buatkan tandas. Hal ini belum lagi diterajui oleh kerajaan berkebajikan slogan terbaharu parti politik menggunakan nama Islam. Mungkin apabila kena saman kerajaan kebajikan ini  akan tolong jelaskan. Dan apabila mencuri kerajaan berkebajikan akan tolong maafkan. Dosanya akan diampunkan. Sebabnya menyokong parti menggunakan Islam dijamin masuk syurga!.

Tiada ulasan: