Visitor

Khamis, 27 Mac 2014

SPM: "Berapa A awak dapat ?"

Hampir seminggu yang lalu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dikeluarkan. Pihak sekolah yang mempunyai calon SPM telah menyediakan analisis pencapaian masing-masing. Pihak Lembaga Peperiksaan pun telah mengeluarkan kenyataan dan ulasan berkaitan pencapaian calon-calon  seperti tahun-tahun sebelumnya.
Bagi pelajar yang berjaya mencapai banyak A atau A+ akan terlonjak-lonjaklah kegembiraan. 

          Dalam media sama ada akhbar atau televisyen tergambarlah wajah-wajah ceria meraikan kejayaan. Tiada satu pun gambar atau visual dirakam bagi mereka yang menangis kehampaan atau meraung-meraung kerana tidak memperoleh A . Sama ada pangkat A, B, C, atau D adalah skala yang diberi untuk mengukur pencapaian daalam peperiksaan. Tegasnya mereka tetap lulus. Hal ini bermakna setiap pelajar tahu akan kekuatan dan kelemahan masing-masing. Mereka berasa puas dari apa yang telah mereka usahakan. Pencapaian mengikut gred hanya ukuran pengetahuan yang diberi dari kertas jawapan semata-mata dan bukan ukuran mutlak. Mereka yang mendapat A+ misalnya tidak bermakna mereka tahu semua apa yang dipelajari di sekolah. Merka yang mendapat E juga tidak bererti mereka tidak bijak. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang mereka sendiri tahu.

          Hampir semua pelajar telah melalui proses ujian atau penilaian ini. Sebenarnya pelajar-pelajar sedar di mana tahap pencapaian mereka. Sebelum peperiksaan sebenar, mereka telah melalui pelbagai program motovasi, kem-kem kecemerlangan, seminar-seminar dan sebagainya untuk membantu mereka meningkatkan pencapaian. Jika mereka sedar dan bersedia awal, dengan izin Allah kejayaan akan terserlah.

          Kita juga harus sedar bahawa dalam usaha  mengejar kecemerlangan, berapa banyak A akan menjadi ukuran orang . Di sekolah, guru-guru selalu bertanya berapa banyak pelajarnya mendapat A+, A, atau A-. "Berapa A awak dapat?" adalah soalan lazim yang diajukan kepada calon. Apabila pulang ke rumah atau menemui rakan atau ahli keluarga soalan yang sama akan diajukan.

         Prestasi sekolah dikatakan meningkat jika banyak calonnya mendapat A atau GPSnya meningkat jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Guru-guru dan pengetua turut senyum  hingga ke pipi jika pencapaian sekolah meningkat. Nama sekolahnya gah dalam senarai PPD dan Pejabat pelajaran Negeri masing-masing.

        Apakah banyaknya A melambangkan kecemerlangan segala-segalanya?. Bagi pelajar terlibat, Gred Purata Sekolah (GPS) tidak memberi apa-apa makna kepada mereka. Mereka hanya berfikir, ke mana mereka akan terus meneruskan pelajaran atau mencari pekerjaan untuk survival dalam hidup. 

       Hakikat yang perlu diterima ialah, kecemerlangan dalam pelajaran bukanlah jaminan mutlak dalam hidup. Sebagai golongan muda dan remaja, banyak cabaran akan ditempuh. Yang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, teruskanlah. Yang tidak cemerlang atau kurang pencapaian tidak bermakna akan gelaplah masa depan. Mereka ada banyak ruang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pelbagai program disediakan sama ada di kolej-kolej, politeknik, di institusi kemahiran, dan sebagainya kepada mereka yang mempunyai kelayakan dan memerlukan syarat kemasukan yang minima. Peluang mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi tetap ada. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih adalah dua peribahasa yang amat sinonim dengan situasi ini.

         Bagaimana halnya dengan pelajar yang kurang cemerlang tetapi terpaksa memilih untuk mencari rezeki atau bekerja dalam usia muda?. Mereka adalah antara anak muda yang berjuang untuk membantu keluarganya kerana kesempitan hidup. Mereka ini seakan-akan tidak diberi penghargaan atau pengiktirafan. Kita menjadi seperti zirafah yang hanya melihat atau menilai di bahagian atas sahaja kerana di atas itulah yang terbaik. Adakah kita sedar bahawa, ada pelajar  yang kurang cemerlang ini  terpaksa bekerja demi menanggung ibu dan adik-adiknya atau menjaga  bapa  yang miskin dan uzur. Kegigihan dan pengorbanan mereka cukup hebat, tetapi  tiada siapa yang ambil peduli. 

         Berdasarkan pengalaman lalu, kita dapati ada antara pelajar ini  telah berjaya mencipta kejayaan sendiri. Mereka akhirnya berjaya menjadi usahawan atau berjaya menubuhkan syarikat sendiri. Ramai antara mereka yang mempunyai pendapatan  jauh lebih baik daripada mereka yang dahulunya cemerlang dan belajar sampai ke menara gading.  Ringkasnya, kejayaan seseorang itu tidak bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi perlu ada keazaman, keyakinan dan kekuatan mental dan fizikal bagi berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

       Akhir sekali syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya mencapai impian dengan kegigihan dan kesabaran walau apa pun keputusan yang diperoleh. Sebenarnya anda telah berjaya menempuh ujian dan berani menghadapi cabaran.