Visitor

Khamis, 3 April 2014

Ahmad Said Buat Kenyataan Berani

Hari ini seperti biasa saya mambaca akhbar. Bukan selalu saya baca. Hari ini agak berbeza kerana saya terbaca kenyataan Dato' Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu berkaitan dengan isu bola sepak.
Kenyataan beliau mendorong saya memberi ulasan dalam blog ini walaupun saya sedar saya bukan pengulas sukan yang baik apatah lagi pengulas politik.
Kemelut pasukan Terengganu, T-Team dengan Pasukan Johor nampaknya belum reda. Walaupun saya sekarang sudah agak jarang-jarang mengikuti perkembangan sukan  tetapi apabila satu kenyataan daripada seorang pemimpin yang berani dan bersahaja tentunya ada 'nilai dan pengajaran' yang boleh dikongsi bersama.
          Isu utama yang dipertikaikan ialah isu keadilan. Demi menjaga hati satu pihak atau individu, terpaksa dijatuhkan hukuman kepada pihak yang satu lagi.  Keadilan perlu ditegakkan bukan sahaja dalam urusan sukan tetapi merangkumi urusan duniawi yang lainnya.
          Saya ingin memperturunkan semula sebahagian kenyataan Ahmad Said kepada wartawan yang dipetik dalam Utusan Malaysia hari ini, Khamis, 3 April, 2014.

"Cakap sedap, kita akan bertindak tegas dan kita akan ambil tindakan, cakap saja. Kalau tak mampu, letak jawatan saja. Sebab itulah pasukan Malaysia tak naik-naik apabila ada orang  macam ini  yang tak berani bertanggungjawab., tak berani ambil tindakan". Beliau merujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Bagi mereka yang kurang fasih dengan bahasa  Terengganu atau loghat Terengganu, maksudnya lebih kurang begini:

Dia bercakap sesuka hati untuk seronok didengar, (Dengan mengajuk kata-kata Pengerusi jawatankuasa disiplin), "Kita akan bertindak tegas". "Kita akan ambil tindakan". Dia hanya pandai bercakap sahaja. Kalau (dia) tidak mampu untuk mengambil tindakan, (lebih baik dia) letak jawatan. Sebab itu pasukan bola sepak Malaysia tidak maju. (jika) ada orang (pegawai) macam itu, yang tidak berani ambil tanggungjawab dan tidak berani ambil tindakan (kepada yang bersalah).

        Bagi saya ini satu kenyataan yang hebat. Saya tahu Dato' Seri Ahmad terkenal dengan seorang yang berani. Sebagai seorang pemimpin di peringkat negeri, beliau bertanggungjawab membela nasib dan kebajikan orang-orang bawahannya sama ada pemain atau pegawai. Kritikan yang  pedas dan sindiran yang tajam seperti ini jarang diluahkan oleh seorang pemimpin. Apatah lagi apabila berhadapan dengan orang yang "lebih berkuasa, lebih berautoriti ". Sebagai anak Terengganu saya menghargai dan bangga atas kenyataan yang berterus terang seperti ini.  Dalam politik sekalipun, pemimpin perlu berani bersuara, berterus terang, tegas, dan prihatin demi rakyat. Bukan pemimpin atau ahli politik yang menjadi politikus dan mendiamkan diri ketika menghadapi sesuatu krisis seperti tikus.  Syabas.

        Aspek-aspek lain berkaitan isu ini biarlah orang yang lebih mahir memperkatakannya. Saya hanyalah rakyat biasa yang suka menonton perlawanan bola sepak.