Visitor

Rabu, 21 Mei 2014

PRK Teluk Intan: Comel lawan Handsome

Oleh: Penjual Buah

Sebermula, Pilihan Raya Kecil (PRK) pada kali ini nampaknya ada yang menarik. Hamba jengok-jengok dalam beberapa segi, boleh buat cerita menarik. Mungkin sesetengah orang nampak tidak menarik tetapi bagi hamba penjual buah tepi jalan ini mungkin ada yang menarik jika dibanding dengan beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

        Dalam PRK Bukit Gelugor, nampaknya Barisan Nasional (BN) tak berani masuk gelanggang. Dia duduk tepi gelanggang sahaja tengok calon DAP, calon Parti Cinta Malaysia (PCM) dan calon bebas bersilat. Mungkin BN sudah mencongak , kawasan Karpal Singh yang menang majoriti lebih 40,000 undi dalam PRU yang lalu bukan tempat sesuai nak 'test market". Daripada perhabis duit berkempen, lebih baik bantu rakyat miskin di sekitar Bukit Gelugor, agaknya. Jika andaian hamba ini betul, hamba rasa BN yang memang bijak itu bertambah lagi kebijaksanaannya.

         Hamba tidak hendak komen PRK Bukit Gelugor sebab mengikut laporan akhbar, suasana berkempen sekarang  jadi hambar kerana BN menyusup dalam semak dan jadi penonton.

         Hamba suka dengan pertandingan dua penjuru di Telok Intan. Perempuan lawan lelaki, macam tempat lain juga. Yang perempuan diwakili  wanita muda Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud calon DAP, manakala lelaki diwakili lelaki China, Datuk Mah Seow Keong,  Presiden Gerakan sendiri. . Soal bangsa atau ras tolak ke tepi kerana kita boleh bersama atas nama rakyat Malaysia. Calon wanita yang cantik dan calon  lelaki yang handsome. Ini bukan tanggapan hamba tetapi tanggapan semua orang. Timbalan Perdana Menteri sendiri pun mengakui calon yang dipertaruhkan dari parti Gerakan itu  ialah "calon yang tidak kurang handsomenya".

          Mengikut firasat hamba yang bodoh politik ini, kebiasaannya jika calon-calon yang bertanding ada rupa, akan menang, lebih-lebih lagi yang melibatkan perempuan.



         Untuk mengukuhkan hujah hamba ini, Dato' Seri Sahrizat Abdul Jalil calon BN tewas dengan Nurul Izzah Anuar dalam PRU yang lalu di Lembah Pantai. Kalau dari segi  pengalaman dan karekter dalam politik, Syahrizat mampu mengalahkan Nurul Izzah. Begitu juga jika dilihat dalam PRU sebelum ini, apabila Dato' Dr Masitah Ibrahim bertanding, beliau berjaya menewaskan seorang tokoh agama lelaki yang disegani dan popular ketika itu dari calon PAS. Dr Masitah dipopularkan dalam program TV begitu juga lawannya.

          Nampaknya apabila kaum Hawa masuk politik  mereka seolah-olah boleh menggugat ketokohan, kredibiliti kaum Adam. Apakah ini hakikat yang perlu diterima atau sebaliknya.

          Jika dipandang berdasarkan kaum lelaki dalam politik pun, walaupun bertanding sesama gender, tetapi tetap kalah walaupun ada karektornya. Sebagai contoh, bagaimana Dato' Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka ketika itu boleh kalah. Sama juga nasib yang diterima oleh Menteri Besar Johor, boleh kalah dengan calon perempuan. Mungkin ada yang berpendapat, memang pengundi kawasan itu menolak BN, letaklah mana-mana calon pembangkang pun boleh menang. Adakah rekod BN sangat buruk atau diburukkan oleh dakyah pembangkang.

        Soal rupa paras adalah soal subjektif tetapi fakta ini tidak dapat menipu orang. Ini soal persepsi. Manusia dijadikan Tuhan begitu. Bukan dalam politik sahaja tetapi dalam pentadbiran pun ada. Hamba tidak mahu sentuh soal nasib bekas Menteri Besar Terengganu, yang setahu hamba tidak mesra dengan 'media'. Begitulah kehendak Tuhan, kata orang, tetapi Tuhan tidak pandang itu semua melainkan amalan dan iman.

        Walau apa isu sekalipun yang ditimbulkan, soal persepsi juga boleh memainkan peranan pada pandangan pengundi. Isu hudud, isu perkauman, isu pembangunan dan lain-lain adalah kosmetik politik. Rakyat pun mungkin sudah bijak tidak sama seperti dulu. Kalau beri pembangkang menangpun, Malaysia tetap diperintah oleh BN. Apa salahnya ? Tetapi bagi kerajaan pandangan ini tidak boleh diterima langsung.

         Oleh yang demikian, hamba rasa kawasan Telok Intan itu BN perlu meletakkan calon perempuan yang cantik juga. Kalau tidak Siti Nurhaliza sebagai calon, carilah mana-mana penyokong wanita Umno atau komponen BN, ramai lagi yang cantik. Baru kena dengan peribahasa, bagai  buku dengan ruas.

Akhir kalam, sebagai analogi, hamba lihat mengapa orang berhenti membeli buah durian sedangkan kulitnya berduri. Bagi peminat buah -buahan  tempatan, buah durian bukan sahaja besar dan cantik, tetapi isinya enak dimakan. Duri bukan penghalang untuk mereka  menolak buah durian!.