Yang mana satu yang betul, bukan rasis atau tidak rasis?
Berdasarkan pengetahuan saya yang sedikit ini, dalam bahasa Melayu kata nafi hanya ada dua sahaja iaitu tidak dan bukan.
Cuba teliti ayat -ayat ini:
1. Saya tidak makan. Saya bukan makan
2. Dia bukan orangnya. Dia tidak orangnya.
3.Yang mencuri itu bukan Ahmad tetapi Abu. Yang mencuri itu tidak Ahmad tetapi Abu
4.Kalau tidak sanggup jangan buat. Kalau bukan sanggup jangan buat.
5. Bukan senang kalau hendak kaya. Tidak senang kalau hendak kaya.
Jika kita membaca semua pasangan ayat di atas, tentu kita dapat tentukan yang mana satu ayat yang betul dan tepat dari segi morfologinya. Ayat yang bergaris itu mungkin pilihan kita.
Frasa tidak makan (Ayat 1) terdiri daripada kata nafi dengan kata kerja. Dalam ayat 2, frasa bukan orangnya terdiri daripada kata nafi dengan kata nama. Manakala ayat 3, frasa tidak sanggup terdiri daripada kata nafi dengan kata akjektif.
Walau bagaimanapun ayat 5 berbeza kerana perkataan senang itu juga adalah kata adjektif tetapi boleh menggunakan kata nafi bukan. Hal ini kerana ayat ini membawa maksud bertentangan. Maknanya " Bukan senang kalau hendak kaya" (tetapi...).
Sekarang jelaslah bahawa penggunaan kata nafi 'tidak' hanya dihubungkan dengan kata kerja/frasa kerja dan kata adjektif / frasa adjektif sahaja. Manakala kata nafi 'bukan' hanya dihubungkan dengan kata nama atau frasa nama sahaja. Jika ditukar ganti dengan kata nafi yang lain tentulah salah dan janggal bunyinya. Kita boleh kaji ayat-ayat lain seperti berikut:
6. Dia tidak hilang (hilang, kata adjektif) (bukan: Dia bukan hilang),
7. Dia tidak pandai (pandai, kata adjektif) bermain bola (bukan: Dia bukan pandai bermain bola).
8. Abu tidak terlalu tua (terlalu tua, frasa adjektif) untuk bermain bola( bukan: Abu bukan terlalu tua untuk bermain bola.
9 Itu arnab bukan kucing (kucing, kata nama) (bukan : Itu arnab tidak kucing),
10. Ayah mengantuk kerana tidak tidur semalaman (tidur, kata kerja) ( bukan : Ayah mengantuk kerana bukan tidur semalaman.
11. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. (Ini ialah contoh peribahasa yang sudah mantap dan diterima umum, menggunakan kata nafi, tidak.
Oleh yang demikian, ayat "Kerajaan tidak rasis" adalah betul. Rasis ialah kata adjektif. Pihak media juga diharapkan perlu konsisten dalam penggunaan perkataan ini.
Bagi mengukuhkan kemahiran penggunaan kata nafi ini dan frasa adjektif, dapatkah anda pastikan ayat-ayat yang betul di bawah:
- Jalan raya di kampung itu bukan sunyi sepi sekali selepas jam 12.00 tengah malam. ( )
- Walaupun dia bukan sangat pandai, dia sanggup membantu rakan-rakannya di kelas. ( )
- Abang memberitahu ayah bahawa dia bukan sekali sedih tetapi dia gembira kerana lulus periksa. ( )
- Pelakon lelaki yang kacak itu bukan dari India tetapi dari Amerika. ( )
Jawapan: [ayat 3, ayat 4 ](heret/drag tetikus di ruang kosong )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan