Visitor

Sabtu, 5 Januari 2013

Motivasi: Mengharungi Cabaran, Menuju Kejayaan


ariff_rafting3Tiada seorang pun dalam dunia ini yang berjaya tanpa menghadapi cabaran. Tanpa bersusah payah. Kejayaan yang bakal  diperoleh terpaksa  melalui perbagai halangan, kesukaran,  keperitan dan sebagainya. Kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung manatah dapat sagunya, Untuk berjaya bukan perkara mudah. Pengorbanan, kesabaran, kegigihan, kepintaran adalah ‘alat’ yang perlu ada. Oleh yang demikian,  untuk membantu kita mencapai kejayaan, kita perlu ada wawasan dalam hidup. Dalam  wawasan hidup,  kita perlukan perancangan yang teliti,  perlu dirangka supaya apa yang hendak dicapai dapat dikenal pasti melalui kekuatan yang ada, kelemahan-kelemahan  yang perlu dielakkan, peluang yang ada dan ancaman yang mungkin dihadapi nanti.
       Untuk tujuan itu dengan mengambil analogi dalam sukan berakit (rafting) misalnya, sama ada individu atau kumpulan , kita perlu mengambil kira semua faktor yang dinyatakan di atas.
       Pertamanya,  kekuatan perlu ada. Maknanya setiap orang perlu sedar bahawa tenaga dan kelebihan yang ada perlu digunakan atau digembeling sebaik mungkin untuk mengendalikan rakit supaya tidak tenggelam atau tersasar dari arah yang sepatutnya. Jika dalam kumpulan,  setiap orang perlu bersatu demi satu matlamat. Kombinasi dan persefahaman antara ahli akan memudahkan matlamat dicapai iaitu destinasi terakhir.
       Kedua, kelemahan atau kekurangan yang ada. Manusia dijadikan Tuhan ada kelemahan di samping kebaikan atau kelebihan yang dianugerahkan. Kenal pasti kelemahan itu supaya tidak mengganggu atau melemahkan cita-cita atau impian. Misalnya, kekurangan mungkin terjadi daripada keadaan  fizikal rakit itu sendiri atau ahli-ahli yang terlibat tidak ambil peduli. Begitu juga faktor alam, cuaca, dan sebagainya perlu diambil kira.
       Ketiga, kenal pasti peluang yang ada. Dalam hal ini, kelajuan air dan kecuraman yang dilalui mungkin memberi kelebihan kepada pergerakan rakit. Destinasi akan mudah dan memberi kelebihan untuk mencapai kejayaan yang diharapkan. Oleh itu peluang yang ada perlu digunakan semaksimum mungkin.
       Akhirnya keempat,  kita perlu mengambil kira ancaman atau ‘treat’ yang bakal dihadapi. Perkara-perkara yang berlaku di luar jangkaan mungkin ada, jadi kita harus berwaspada. Misalnya,  mungkin ada  batu besar di hadapan atau kayu yang melintang mengganggu pergerakan atau boleh menyebabkan rakit tenggelam. Oleh itu, setiap orang atau anggota perlu berwaspada , berhati-hari dan memandang jauh ke hadapan dengan perasaan berani dan yakin.
        Ringkasnya, setiap orang perlu ada perancangan strategik masing-masing. Perancangan bukan sahaja perlu ada dalam sesebuah organisasi tetapi juga perlu ada dalam diri setiap individu. Oleh itu visi (wawasan) dan misi (mission) yang merupakan alat untuk mencapai wawasan perlu ada.

Barnes (1978) menyatakan:

Vision without action is a dream.
Action without vision is simply passing the time.
Vision with action is making a difference positive.

Diharapkan tahun 2013 akan lebih cemerlang. Dengan perancangan yang teratur, iktizam dan tawakkal,  insyaalah impian akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: