Visitor

Sabtu, 16 Februari 2013

Siapa Perompak Wang Rakyat ?



Ketika pulang dari Kuala Lumpur, saya berhenti bersembahyang Maghrib  di sebuah masjid di Cerating, Kuantan. Secara tidak sengaja, saya didatangi oleh seorang tua  sekiatar 60-an. Dia nampak sedang bersungut sesuatu ketika keluar dari masjid. Masa itu saya baru selesai solat  dan duduk di tangga bersama rakan-rakan lain sementara menunggu isteri selesai . Ketika berjalan  mendapatkan seliparnya yang  terletak hampir dengan tempat saya duduk itu,  dia bertanya,

“Encik tahu tak siapa perompak wang rakyat dalam Malaysia nih?".

Saya termangu-mangu seketika kerana diajukan soalan  oleh orang yang saya tak kenal tetapi tetap tersenyum sekadar menghormati. Saya hanya sempat menggeleng kepala .

“Siapa yang ajar semua ini?” tanyanya lagi memperlihatkan sesuatu yang mengecewakan.
Saya diam. Tunggu jawapan.

‘Itulah Najib, perompak wang rakyat terbesar.” katanya sambil berlalu dari situ. Kata-katanya berakhir di situ dan berlalu pergi.

          Ketika memandu pulang ke Kemaman, saya teringat akan kata-kata lelaki itu. Kata-katanya membuatkan saya berfikir sendiri serta  tertanya-tanya mengapa dia menuduh  demikian.

          Saya cuba mengingati kembali  senario itu  semula kerana sebelum lelaki itu menghampiri saya sambil  bersungut kerana katanya di  masjid itu kerap berlaku kecurian. Ada saja wang dalam tabung masjid hilang. Mungkin atas sebab itu ketika melihat saya dia melepaskan geramnya dengan bertanyakan soalan itu.

          Persoalan yang timbul di sini ialah, mengapa dia mengaitkan kecurian dengan Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri?. Setelah merenung beberapa ketika,  saya dapat membuat tanggapan bahawa inilah gara-gara daripada fahaman politik menghasut yang telah meresap masuk dalam pemikiran orang ramai. Tidak sangka juga saya perbuatan menuduh orang atau menghina orang sempat juga dilakukan selepas  atau baharu sahaja selesai sembahyang. Islam tidak mengajar umatnya bersangka buruk  dengan orang apatah lagi sesama Islam.

          Yang jelas dari apa yang saya alami itu memperlihatkan bahawa  budaya memburuk-burukkan pemimpin  dari kalangan orang Melayu  khasnya adalah datang dari dakyah  pemimpin-pemimpin politik Melayu sendiri. Betapa malang sekali, apabila budaya berpolitik tuduh menuduh, memfitnah, benci membenci, dimanipulasi dan dipersepsikan dalam media dan ceramah politik hampir setiap hari sehingga terbawa-bawa dalam masjid yang mulia itu. Pemikiran masyarakat telah dikelirukan. Pengikut yang naïf dan taksub selalunya mendengar apa sahaja kata pemimpin mereka tanpa memikirkan fakta  sama ada benar atau fitnah. Natijahnya masyarakat jadi pecah belah.

          Jika benar tidak suka kepada Najib sekalipun, mengapa kaitkan dengan kecurian?. Bahkan jika berlaku di Kelantan sekalipun, negeri diperintah oleh PAS,  kita tidak salahkan Dato'  Nik Aziz.  Apa kena mengena kecurian di masjid dengan Nik Aziz atau Najib?.  Mereka semua pemimpin yang dipilih oleh rakyat.  Jadi, di sinilah bagi saya, nampak betapa buruknya sikap dan perangai ‘orang kita ‘ apabila berpolitik. Mereka tidak berfikir secara rasional walaupun bukan semua begitu. Pokoknya  pemikiran sedemikian adalah kesan daripada propaganda politik. Najib dikatakan perompak wang rakyat, kerajaan rasuah dan sebagainya. Kalau benar Najib perompak, dia tidak akan berada dalam negara ini. Lebih baik lari, mungkin dia boleh selamat. Itu baru betul-betul perompak, penyamun, pencuri dan yang 'sewaktu dengannya'. Kita perlu berfikir secara rasional. Kita ada mahkamah, bawa sahaja kes ke mahkamah. Kita ada SPRM, buat laporan. Badan yang ditubuhkan oleh kerajaan ini boleh memainkan peranan mereka mengikut akta yang ada. Buktinya, sudah banyak ahli politik kena saman dan didakwa kerana rasuah dan salah guna kuasa.

        Akhir kata, sebagai rakyat Malaysia yang tahu baik buruk dan natijah dari perangai individu yang menjadi punca pecah belah, kita perlu berfikiran positif  dan mengelakkan diri dari terpengaruh dari dakyah sedemikian, yang akhirnya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada masyarakat. Jika beria-ia sangat hendak berpolitik, carilah tempat atau platform yang sesuai dan berpolitiklah secara sihat dan berhemah.

Ahad, 10 Februari 2013

Bahasa Klasik dalam Bahasa Melayu yang Kacau


Sebermula, setelah beberapa lama hamba berkelana, maka teringatlah akan hamba tentang apa-apa pesanan guru hamba ketika hamba menuntut ilmu bahasa di tempat mengaji  tinggi itu. Adapun guru hamba itu amat cakna akan bahasanya iaitu bahasa Melayu. Maka banyaklah hamba menumpang ilmu akan dia. Adapun bahasa dulu-dulu itu dikatakan bahasa klasik yang menggantikan akan dia bahasa kuno itu. Shahadan , bahasa klasik itu tidaklah dipakai orang lagi. Maka digantikan dengan bahasa Melayu moden macam sekarang ini. Akan tetapi bahasa Melayu yang dikata moden atau baharu itu banyaklah akan cacat celanya, tidak baku, tidak termanai banyaknya. maka dikhabarkanlah orang, bahasa rojak, bahasa campur atau macam-macam lagi.
      Arakian, setelah sekian banyak orang mengutuk akan dia, banyaklah tulisan-tulisan dalam media yang memperkatakannya. Tidak kuranglah dari mereka yang tahu bahasa sedikit-sedikit mahupun mereka yang tidak reti akan bahasanya. Maka di Terengganu itu, yang tidak beradap dan buruk peranaginya  lebih masyhur dengan panggilan 'tak reti basa'.
Dikatakan orang  amatlah hairan bin ajaib tentang orang yang bercakap bahasa Melayu itu  kerana sudah 55 tahun merdeka tidaklah fasih akan bahasa itu. Ada yang mengata sangat penatlah cikgu yang mengajar akan bahasa itu tetapi tiada juga yang tahu gunanya, waima sebutan mahupun ejaannya. Yang bangsa Melayupun ada yang tidak reti bahasanya. Jika ia bukan Melayu bertambah teruklah jadinya, hampir gila babi.
    Jika mahu akan buktinya, maka ada banyaklah . Yang dikatakan darah maka disebutnya 'dara'. Yang dikatakan menampal poster maka disebutnya 'menampar poster'. Yang datangnya dari bahasa Inggeris amatlah banyak juga dan bercampurlah macam rojak ayam. Sos cili disebut dan ditulis 'cili sos', stadium mini disebutnya 'mini stadium', begitulah lebih kurang misalnya. Sampai bilakah masalah bahasa rojak akan selesai.

Khamis, 7 Februari 2013

Kemiskinan dan Kekayaan Hak Milik Siapa?

Salah seorang rakan Facebook saya memuatkan grafik  dengan memetik kata-kata Bill  Gates, jutawan terkenal Amerika Syarikat:

"If you born poor,
it's not your mistake,
but if you died poor, 
it's your mistake".

       Ungkapan ini  begitu  menarik bagi saya berbanding ungkapan lain dalam FB  yang mengetengahkan politik keterlaluan, ungkapan  kasih sayang meluat dan  gambar makanan yang baru disumbat ke perut. Bagi saya, kata-kata daripada seorang yang luar biasa ini dan  pengasas perisian  "Microsoft" dengan  kekayaan yang dimiliki sekarang  pastinya mempunyai makna yang mendalam. Jika dikaitkan  dengan kemelut pemikiran segelintir orang  Melayu  hari ini memang ada isu yang boleh diketengahkan. Adakah kita dapat berubah untuk memgharungi kehidupan yang lebih sempurna atau sebaliknya. Adakah orang Melayu perlu sentiasa diberi 'tongkat' untuk bersaing dalam dunia globalisasi atau sebaliknya.
         Saya lebih berminat untuk memperkatakan aspek ini dalam dunia sosiologi berbanding  dunia politik. Sebab, jika dibahaskan berdasarkan  politik , di mana-mana negara pun masalah kemiskinan tetap ada. Dalam negara komunis sekalipun kemiskinan masih wujud kerana ahli sosiologi berpendapat bahawa kemiskinan adalah sesuatu yang amat subjektif. Hal ini berlaku kerana proses modenisasi bergerak seiring dengan perkembangan globalisasi. Sesiapa yang tidak sanggup berhadapatan dengan gelombang pembangunan akan ketinggalan. Oleh itu, mahu tidak mahu hakikat ini terpaksa kita terima.
          Sejarah Bill  Gates bermula daripada seorang pelajar yang hampir menghadapi masalah pembelajaran. Dia juga hampir gagal dalam ujian Matematiknya tetapi akhirnya  cemerlang dalam Matematik. Dia berjaya membuktikan keupayaannya dengan melakukan sesuatu yang baharu dan dapat  memberi keuntungan dalam hidupnya. Justru, kejayaan hidupnya bukan setakat galakkan dari kedua-dua ibu bapanya tetapi kerana  dia mempunyai idea kritif dan inovatif. Ramai mengakui bahawa kejayaannya adalah hasil daripada kesungguhannya menjayakan sesuatu kerja yang tidak terfikir oleh orang lain yang akhirnya menjadi kenyataan. Sesungguhnya, aspek 'interinsics motivation" amat penting dalam proses perubahan tingkah laku seseorang.
         Pada peringkat permulaan, dia sering menghadapi masalah sama seperti usahawan yang lain tetapi dia yakin dengan usahanya. Sebagai anak muda yang sentiasa berfikiran positif , dia tidak mudah mengaku kalah. Dia terus mencuba dan mencuba. Kesungguhnannya menceburkan diri dalam bidang perisian komputer ketika itu mungkin tidak  terfikir  oleh orang sekelilingnya sehinggalah orang menyedari bahawa ideanya yang dikongsi bersama rakannya  telah  memberi manafaat kepada  manusia di seluruh dunia.
          Konklusinya, setiap orang ada potensi yang tersendiri untuk menempah kejayaan. Pakar-pakar dari teori pembelajaran juga bersetuju  bahawa kejayaan bukan bermula dari proses kognitf semata-mata, tetapi kejayaan juga adalah dari persekitaran atau proses sosialisasi yang dialaminya. Kata pepatah, kalau benih yang baik, jika jatuh ke lautan akan menjadi pulau.  Sebenarnya, kesungguhan yang ditunjukkan  oleh tokoh ini boleh memberi pengajaran kepada kita  bagaimana untuk 'survive' dan mencapai kejayaan lebih cemerlang. Kadang-kadang terlintas juga difikiran saya persoalan bahawa adakah kita dilahirkan untuk menjadi kaya serta  memberi kebahagiaan kepada orang lain atau dilahirkan  untuk masuk syurga semata-mata ?.