Sejak akhir-akhir ini kita didendangkan dengan
perkataan ‘janji’. Kalau berjanji, perlulah ditepati. Kalau tidak menepati
janji, bermakna berbohong, penipu atau sebagainya. Seorang pemuda berjanji akan
mengahwini kekasihnya. Apa akan jadi,
jika kekasihnya tidak dapat menunaikan janjinya kerana sesuatu sebab yang tidak
dapat dielakkan. Adakah perempuan itu bersabar menerima kenyataan, terus
memutuskan hubungan, atau membuat laporan polis?
Dalam politik,menabur
janji amat popular. Janji boleh menjadi
alat untuk banyak perkara yang hanya boleh diterjemahkan oleh orang politik
sahaja. Ada golongan ibu tunggal menagih janji. Ada satu golongan lagi yang
menuntut janji kerana ada pihak yang gagal membekalkan air percuma dan membayar
yuran Tadika anak mereka seperti yang diharapkan hingga kecoh satu kampung,
satu negeri, satu negara. Mereka marah, bertempik malah ada menangis meratap
dan kecewa. Mereka mendakwa itu hak mereka, berdemontrasi sana sini dan masuk
televisyen. Tak malunya orang kita menagih wang semata-mata janji yang
diharapkan kerana janji yang tidak ditepati. Yang bertempik itu ramai orang
Melayu. Yang menonton itu orang bukan Melayu. Orang China dan India yang berjaya
itu asalnya adalah daripada mereka yang dahulunya sanggup bekerja siang malam di bengkel,di ladang
dan di lombong yang akhirnya mereka kaya
raya dan tidak perlu lagi meminta-minta. Harta mereka berjaya diwarisi oleh anak cucu mereka.
Perniagaan mereka kukuh tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.
Sampai bila orang
kita akan berkelakuan demikian? Tak dapat duit
RM 50.00 atau RM200 pun jadi bising hingar bagar. Jika diteliti, mereka ini
sebenarnya bukanlah golongan terlalu miskin macam di India atau di Somalia. Belum
ada orang Malaysia setakat ini yang mati kelaparan atau yang terpaksa tinggal di
bawah jambatan. Dalam kalangan mereka ini mungkin ada yang tidak mengharapkan
sangat tetapi dieksploitasi oleh mereka yang berkepentingan sehingga heboh satu
Malaysia. Mereka adalah golongan yang tidak layak menerima bantuan. Terima sahajalah hakikat dan berusahalah sendiri.
Ada sesetengan
pihak menganggap bahawa politik itu ‘kotor’.
Orang politik tentu tidak bersetuju kerana pandangan yang bercanggah dengan perjuangan
mereka. Memang ada ahli politik yang baik dan jelas perjuangannya. Ahli politik
ini berpegang atas dasar membela rakyat,
membantu rakyat dan sebagainya untuk rakyat. Tidak kurang juga ahli
politik yang mengambil peluang mengumpul kekayaan dengan menipu dan mencari
kesempatan daripada kebodohan rakyat. Buktinya, ada pemimpin politik kena cekup kerana membawa wang berjuta-juta ringgit ke luar negara. Pemimpin politk yang lain pula dapat membeli rumah untuk isterinya berjuta-juta ringgit dengan cara yang salah. Dia jadi kaya bukan kerana politik sahaja tetapi banyak pelihara 'toyol'.
Persoalananya adakah kerajaan pilihan rakyat tidak membela rakyatnya. Semua kerajaan
yang memerintah di dunia ini mempunyai tanggungjawab membantu rakyatnya dalam apa
keadaan saja sekalipun hingga ada kerajaan yang bangkrap semata-mata untuk menjadi
kerajaan populis. Kerajaan Greece pun pernah bangkrap. Kerajan Malaysia ada perkiraan sendiri, belum muflis.
Hakikatnya, kita
diajar dengan cara menyuapkan makanan ke mulut dari sejak dulu hingga sekarang.
Salah siapa? Kesannya ialah ada yang telah lalai dan leka akan tanggungjawab
membantu diri sendiri sebelum orang lain membantu mereka. Mereka sepatutnya
berikhtiar memajukan diri. Kita juga sedar bahawa golongan yang berjaya dengan
usaha sendiri memang ada dan telah keluar dari kemelut kemiskinan walaupun jumlahnya tidak banyak. Mungkin generasi muda sekarang
sudah menikmati hasil usaha kerajaan memberi pendidikan dan pelbagai kemudahan bagi
mengubah hidup mereka. Ini antara langkah yang telah dilakukan sejak dahulu tetapi kenapa ada
lagi golongan yang tidak sedar diri seolah-olah mereka perlu sentiasa dibantu
sampai bila-bila. Jika tidak dibantu lantas melawan arus jadi penentang
kerajaan. Mahu tidak mahu kerajaan terpaksa menyuap nasi ke mulut mereka supaya
mereka tidak terpekik melolong.
Akhirnya kerajaan
sudah dapat formula, iaitu kalau nak
terus berkuasa, rakyat yang suka meminta ini perlu disuap sampai bila-bila.
Hendak baiki rumah, kerajaan tolong, hendak bayar yuran anak, kerajaan tolong. Hendak
beli buku, kerajaan tolong. Pendek kata kerajaan kena tolong semua. Situasi ini
sama seperti zaman 60-an dahulu, nak berakpun kerajaan tolong buatkan tandas.
Hal ini belum lagi diterajui oleh kerajaan berkebajikan slogan terbaharu parti politik menggunakan nama Islam. Mungkin apabila kena
saman kerajaan kebajikan ini akan tolong jelaskan. Dan apabila mencuri kerajaan berkebajikan
akan tolong maafkan. Dosanya akan diampunkan. Sebabnya menyokong parti menggunakan Islam dijamin masuk syurga!.