Visitor

Isnin, 7 Oktober 2013

Pencapaian Sekolah: Tanggungjawab Siapa?

Sekarang ini kita berada pada  hujung tahun. Kebiasaannya dalam tempoh dua atau tiga bulan terakhir sekolah sibuk mengadakan kelas-kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar mereka. Bermacam-macam jenama diberikan. Ada kem memperkasa, ada kem pecutan terakhir, ada kem lompatan saujana, ada seminar menjawab peperiksaan dan pelbagai lagi. Apa-apa pun, pihak sekolah bersama guru-guru sanggup buat apa sahaja demi meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar mereka. Siang malam  guru-guru berfikir untuk kemajuan sekolah masing-masing.

           Bagi sekolah rendah, guru yang mengajar tahun enam khususnya sudah boleh basuh tangan kerana UPSR sudah selesai. Tetapi di sekolah menengah tugas guru  terutama yang mengajar kelas peperiksaan belum senang duduk diam. Sekarang, peperiksan awam PMR, SPM, STPM sedang menanti. Malahan peperiksaan PMR yang sedang berjalan ini masih ada  guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang belum lagi diambil  siang malam mengadakan kelas tambahan. Begitu tinggi harapan golongan pendidikan ini demi anak bangsa, masyarakat dan negara. Di sebalik kegigihan ini bagaimana pula dengan pelajar dan ibu bapa?


        Umum tahu bahawa kejayaan sekolah bergantung kuat kepada keupayaan pelajar, komitmen guru-guru dan pentadbir sekolah dan disokong secara berterusan dari kalangan ibu bapa. Tiga faktor ini saling berkait dan tidak boleh dipisahkan. Jika pelajar rajin tetapi ibu bapanya tidak mahu membantu, ditambah lagi kegagalan pihak sekolah mengurus pelajar mereka , kejayaan tidak mungkin terserlah.

        Masalah yang tinggal sekarang, apabila semua pihak tampil berikhtiar untuk sama-sama berganding bahu termasuk pihak-pihak  berkepentingan seperti PIBG dan PPD, masalah pelajar masih belum dapat dipulihkan. Yang ponteng kelas tetap ponteng, yang tidur dalam kelas tetap nyenyak, yang tidak hadir  kelas bimbingan tetap dengan keangkuhannya. Akhirnya apabila keluar keputusan peperiksaan, apa yang diharapkan tidak mencapai matlamat!.

        Salah gurukah kerana tidak pandai mengajar. Salah gurukah kerana kurang kerjasama membangunkan sekolah. Salah gurukah kerana tidak mengajar bersungguh-sungguh walaupun sudah diberi gaji yang setimpal ?. Dalam mesyuarat post-mortem (bedah siasat) untuk mengkaji pencapaian keputusan peperiksaan misalnya, jika ada guru memberi alasan kelemahan pelajar, pengetua  tidak terima jawapan itu. Bukan salah pelajar tetapi guru. Guru tetap salah.

       Cubalah cari sekolah manakah yang tidak menghadapi masalah.  Bukan masalah sekolah yang sama tetapi masalah pelajar yang sama.  Masalah datang lewat, pelajar yang sama. Masalah ponteng kelas, pelajar yang sama, bahkan yang membabitkan masalah disiplih adalah daripada masalah pelajar yang sama. Tetapi dalam pengurusan, guru tetap salah!.

      Bilakah pihak berkepentingan (stake holders) dapat memahami hakikat ini. Justu, atas dasar transformasi pendidikan, kita percaya pihak-pihak yang sering menuding jari ini dapat duduk semeja dan mendengar secara komprehensif permasaalahan yang timbul. Adakah pihak pentadbir sekolah sebagai malaikat, semua tindakannya betul. Adakah principal is everything right? Sesungguhnya ilmu dan alam pendidikan amat luas dan perlu diterokai oleh semua pihak agar kekusutan dapat diungkaikan.

Tiada ulasan: