Sudah menjadi kelaziman, hari raya saya ke masjid, sembahyang sunat Raya Aidilfitri.
Sebenarnya, pagi itu saya menitiskan air mata kerana inilah pertama kali saya beraya di tempat orang, rumah mentua. Jauh dari kampung asal saya. Lebih-lebih lagi suara takbir raya kedengaran dari masjid yang berhampiran, seberang jalan raya, jalan besar. Isteri memujuk, tak apa sabar sajalah.
Semasa bersiap-siap, saya memakai songkok. Isteri saya menegur,
" Bang, orang di sini pakai kopiah, bukan songkok,"
"Oo, gitu," jawab saya. Dia meminjamkan kopiah dari sepupunya untuk saya. Saya pun pakai, tak kisahpun.
Setelah nampak ramai ahli keluarga bersiap saya pun nak turun tangga hendak ke masjid. Tiba-tiba Mak Mentua bertanya,
"Eh, nak ke mana pulak tu"
"Nak ke masjidlah". Jawab saya ringkas. Jarak rumah dengan masjid lebih kurang 200 meter.
"Nanti dulu kita sama-sama pergi sembahyang kat Balasoh sebelah Jatuh nun!".
"Ya ke...". Saya mengangguk. Sebagai orang baharu saya tak kisah. Sambil menunggu saudara mara yang lain, saya bertanya kepada isteri apa makna "balasoh" tu. Dia memberitahu balasoh ialah surau. Biasa juga disebut musolla dalam bahasa Arab
" Jatuh tu apa?" bisik saya lagi kepada isteri. Dia beritahu jatuh itu ialah tempat sebelah matahari turun. Saya turut gembira juga kerana kosa kata saya bertambah.
"Tak kisah, loghat orang Besut macam tu". Bisik hati kecil.
Selepas itu kami beramai-ramai beredar menuju ke tempat yang dimaksudkan. Ada yang bermotosikal dua tiga buah. Saya dan isteri bernasib baik kerana dapat pergi dengan menumpang kereta emak saudaranya .Maklumlah baru kahwin tak ada kereta lagi, balik ke kampung pun dengan bas. Saudara mara sebelah sini belum kenal rata lagi. Dalam hati juga tertanya-tanya, 'Mengapa tak ke masjid yang dekat itu?"
Kami melalui jalan kampung dan lorong sempit kawasan kebun getah. Di kiri kanan jalan ada dua tiga buah rumah orang kampung yang berselerak. Sunyi juga. Kira-kira 10 minit perjalanan kami pun sampai. Di surau yang agak usang itu kelihatan sudah hampir penuh dengan jemaah. Nampak tempat itu tak terurus, kotor. Dikelilingi oleh pokok-pokok getah. Ketika nak ambil wuduk nampak dinding kolah berlumut hijau . Lantai suraunya berlubang sana sini, dihampar dengan tikar mengkuang dan tikar getah yang koyak dan usang. Semasa sujud terasa batang hidung tersepit di celah lantai. Saya teringat ketika di kampung. Saya orang kampung juga, tapi masjid atau surau di kampung saya tidaklah begitu daif.
Semasa khutbah, saya masih ingat, walaupun masa itu suara khatib yang agak tua itu tenggelam timbul, dia berkhutbah tanpa teks dan khutbahnya berkisar bagaimana orang Islam menjadi kafir dan amalannya tidak diterima Allah. Selain itu diceritakan mengenai kerajaan 'toghut', kerajaan zalim dan sebagainya.
Pada masa itu memang peristiwa sembahyang dua imam banyak berlaku, akad nikah dua kali pun berlaku. Saya bernasib baik kerana tidak dikenakan akad nikah dua kali !.
Begitulah sekilas peristiwa yang saya alami dan telah menjadi isu hingga hari ini. Saya dapat merasai budaya, denyut nadi dan pemikiran masyarakat di sini walaupun sudah berlaku hampir tiga puluh tahun yang lalu. Sungguhpun masa itu saya tidak ambil pusing tentang politik, namun kesannya terhadap masyarakat masih dapat dilihat hingga ke hari ini. Ketika ini pun masih berlaku tetapi tidak ketara sangat. Ada lagi beberapa peristiwa menarik ketika pulang ke sini, bukan setakat isu pakaian dan sembahyang dua masjid sahaja. Mungkin saya akan bercerita lagi satu hari nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan