Visitor

Rabu, 16 Oktober 2013

Kisah Beruk Mamat dengan Mamat Beruk

Masa zaman kanak-kanak dulu, saya selalu melihat orang memetik kelapa dengan  beruk. Seorang penduduk kampung bernama Mamat mempunyai seekor beruk. Kerjanya mengambil upah memetik buah nyior dengan beruk. Buah nyior ialah nama yang selalu digunakan oleh penduduk kampung khususnya di Terengganu dan Kelantan. Beruknya sangat cekap memetik buah nyior. Bagi masyarakat kampung khususnya di Pantai Timur, kelapa ialah kegunaan harian. Bagi pemilik beruk ini, dia akan dibayar upah dengan kelapa juga atau dibayar wang tunai atas sekali perkhidmatan bergantung pada jumlah kelapa yang dipetik. Sekarang ini pun kita masih boleh melihat beruk memetik kelapa.


      Pekerjaan memetik kelapa amat mulia. Bukan sahaja dapat menampung hidup bahkan dapat menjimatkan masa, tenaga dan mungkin nyawa kerana memetik kelapa dengan memanjat  sangat bahaya apatah lagi pokok yang tinggi melangit.

       Kisah berikutnya ialah, apabila  selesai tugasnya, Mamat pulang dengan bergaya. Dia meletakkan beruk kesayangannya di atas basikal tuanya. Beruknya diam tidak meronta kerana dia sangat terlatih dan biasa dengan kerjayanya. Setiap kali dia melintasi kampung, beruk yang selalu diletakkan di hadapannya sentiasa menarik perhatian.
Suatu hari ada orang kampung bertanya,

 "Beruk siapa itu?'.
"Beruk Mamat", jawab salah seorang daripada mereka.
"Kenapa beruk Mamat?" tanya salah seorang yang berpura-pura jadi bengong.(bengong= bodoh, tidak tahu apa-apa -bahasa Indonesia)
"Sebab dia letak beruknya di hadapan. Beruk Mamatlah..."

        Masa itu saya baru mula  untuk belajar bahasa. Terfikir juga di fikiran saya bahawa masyarakat Melayu zaman dahulu pun peka dengan bahasa. Mereka sensitif tentang hukum bahasa. Hal ini bermakna, perkataan kata nama yang menjadi subjek disebut dahulu. Kalau Mamat Beruk memang kena dengan struktur frasa nama dan selalu disebut orang, misalnya, "rumah Mamat", "kereta Mamat"," anak Mamat" dan seterusnya yang menunjukkan bahawa beruk, rumah, kereta, dan anak adalah kepunyaan atau milik Mamat (belongs to Mamat). Frasa ini tidak sama jika dibandingkan dengan frasa bahasa Inggeris, Mamat's monkey, Mamat's house, Mamat's car dan seterusnya yang subjek (pembenda) disebut dahulu.  Setelah berfikir beratus kali saya yakin dengan konsep itu.

       Tidak lama selepas itu, saya terdengar berita Mamat yang membawa beruk di atas basikalnya menjadi heboh. Sebabnya ialah pada suatu hari ,orang kampung itu  tiba-tiba kecoh.
Ada yang berteriak, " Mamat beruk, Mamat beruk! ". Saya jadi hairan dan keliru. Saya bertanya kepada  salah seorang penduduk kampung. Dia memberitahu berlaku satu peristiwa pada hari Mamat meletakkan beruknya di belakang basikal ketika menuju ke tempat kerja. Beruknya meronta-ronta  menyebabkan Mamat terjatuh kerana terkejut. Kata orang, terkejut beruk. Nasib baik ramai datang membantu kalau tidak kepala Mamat akan dipulas macam buah kelapa . Beruk Mamat memang bengkeng (bengkeng= garang, bengis)

Akhir cerita, saya sempat bertanya kepada orang yang mula-mula saya berjumpa dahulu untuk bertanya tentang kisah beruk ini.

"Kenapa dulu Beruk Mamat , sekarang Mamat beruk?"
"Sebab dia letak beruknya di belakang!. Bukankah bodoh tindakannya. Perangainya pun macam beruk"
"Oo.. jadi Mamat beruklah?"

Saya berpura-pura bertanya untuk mendapat kepastian. Frasa "Mamat beruk" dengan "Beruk Mamat" boleh bertukar ganti.  Dari segi frasanya betul cuma maknya akan berubah. Yang pasti kita perlu sedar bahawa fungsi bahasa itu amat luas, bukan sahaja aspek morfologi dan yang lain lagi, malah aspek semantiknya juga.




Isnin, 7 Oktober 2013

Pencapaian Sekolah: Tanggungjawab Siapa?

Sekarang ini kita berada pada  hujung tahun. Kebiasaannya dalam tempoh dua atau tiga bulan terakhir sekolah sibuk mengadakan kelas-kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar mereka. Bermacam-macam jenama diberikan. Ada kem memperkasa, ada kem pecutan terakhir, ada kem lompatan saujana, ada seminar menjawab peperiksaan dan pelbagai lagi. Apa-apa pun, pihak sekolah bersama guru-guru sanggup buat apa sahaja demi meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar mereka. Siang malam  guru-guru berfikir untuk kemajuan sekolah masing-masing.

           Bagi sekolah rendah, guru yang mengajar tahun enam khususnya sudah boleh basuh tangan kerana UPSR sudah selesai. Tetapi di sekolah menengah tugas guru  terutama yang mengajar kelas peperiksaan belum senang duduk diam. Sekarang, peperiksan awam PMR, SPM, STPM sedang menanti. Malahan peperiksaan PMR yang sedang berjalan ini masih ada  guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang belum lagi diambil  siang malam mengadakan kelas tambahan. Begitu tinggi harapan golongan pendidikan ini demi anak bangsa, masyarakat dan negara. Di sebalik kegigihan ini bagaimana pula dengan pelajar dan ibu bapa?


        Umum tahu bahawa kejayaan sekolah bergantung kuat kepada keupayaan pelajar, komitmen guru-guru dan pentadbir sekolah dan disokong secara berterusan dari kalangan ibu bapa. Tiga faktor ini saling berkait dan tidak boleh dipisahkan. Jika pelajar rajin tetapi ibu bapanya tidak mahu membantu, ditambah lagi kegagalan pihak sekolah mengurus pelajar mereka , kejayaan tidak mungkin terserlah.

        Masalah yang tinggal sekarang, apabila semua pihak tampil berikhtiar untuk sama-sama berganding bahu termasuk pihak-pihak  berkepentingan seperti PIBG dan PPD, masalah pelajar masih belum dapat dipulihkan. Yang ponteng kelas tetap ponteng, yang tidur dalam kelas tetap nyenyak, yang tidak hadir  kelas bimbingan tetap dengan keangkuhannya. Akhirnya apabila keluar keputusan peperiksaan, apa yang diharapkan tidak mencapai matlamat!.

        Salah gurukah kerana tidak pandai mengajar. Salah gurukah kerana kurang kerjasama membangunkan sekolah. Salah gurukah kerana tidak mengajar bersungguh-sungguh walaupun sudah diberi gaji yang setimpal ?. Dalam mesyuarat post-mortem (bedah siasat) untuk mengkaji pencapaian keputusan peperiksaan misalnya, jika ada guru memberi alasan kelemahan pelajar, pengetua  tidak terima jawapan itu. Bukan salah pelajar tetapi guru. Guru tetap salah.

       Cubalah cari sekolah manakah yang tidak menghadapi masalah.  Bukan masalah sekolah yang sama tetapi masalah pelajar yang sama.  Masalah datang lewat, pelajar yang sama. Masalah ponteng kelas, pelajar yang sama, bahkan yang membabitkan masalah disiplih adalah daripada masalah pelajar yang sama. Tetapi dalam pengurusan, guru tetap salah!.

      Bilakah pihak berkepentingan (stake holders) dapat memahami hakikat ini. Justu, atas dasar transformasi pendidikan, kita percaya pihak-pihak yang sering menuding jari ini dapat duduk semeja dan mendengar secara komprehensif permasaalahan yang timbul. Adakah pihak pentadbir sekolah sebagai malaikat, semua tindakannya betul. Adakah principal is everything right? Sesungguhnya ilmu dan alam pendidikan amat luas dan perlu diterokai oleh semua pihak agar kekusutan dapat diungkaikan.

Jumaat, 4 Oktober 2013

Perkataan Yang Telah Mantap

           Banyak pelajar keliru tentang perkataan -perkataan yang perlu ditulis sabagai satu perkataan atau ditulis secara berpisah. Tatabahasa Dewan (Edisi Baharu) telah menetapkan hanya 14 jenis kata sahaja yang boleh ditulis sebagai satu perkataan. Perkataan-perkataan tersebut ialah:


  1. antarabangsa
  2. bumiputera
  3. jawatankuasa
  4. kakitangan
  5. kerjasama
  6. warganegara
  7. olahraga
  8. pesuruhjaya
  9. setiausaha
  10. sukarela
  11. suruhanjaya
  12. tandatangan
  13. tanggungjawab
  14. matahari.
Selain daripada perkataan yang tersenarai di atas, perkataan itu perlu ditulis secara terpisah. Oleh itu beberapa perkataan yang menjadi tanda tanya pelajar termasuklah kereta api, bahan api, sama ada, ibu bapa, rumah tangga dan lain-lain ditulis terpisah. Namun demikian perkataan seperti sukacita, cenderahati, cenderamata, sukaneka dll yang tidak dimasukkan dalam senarai seperti di atas tetapi dieja sebagai satu perkataan.

           Namun demikian, perkataan -perkataan lain antaranya yang ditulis terpisah perlu juga diambil perhatian walaupun kadang-kadang menjadi keliru. Contohnya:


  1. pasar raya bukan pasaraya atau pasarraya
  2. jalan raya bukan jalanraya (termasuklah hari raya, pilihan raya, hantu raya dan pelbagai raya lagi )
  3. kuat kuasa bukan kuatkuasa, penguatkuasa
  4. muat turun, muat naik bukan muatturun, muaturun, muatnaik.
  5. ambil alih bukan ambilalih
  6. alat tulis bukan alatulis.
  7. tengah hari bukan tengahari, tetapi dinihari ditulis sebagai satu perkataan, sama dengan matahari (sudah mantap).
         Senarai di atas adalah contoh sahaja. Dalam masa yang sama kita juga perlu tahu bahawa perkataan-perkataan ini boleh menerima imbuhan, sama ada awalan, akhiran, atau apitan. Apabila menerima imbuhan, perkataan-perkataan ini boleh dirapatkan atau ditulis sebagai satu perkataan.
Misalnya,

  1. kuat kuasa menjadi dikuatkuasakan, penguat kuasa, penguatkuasaan, dikuat kuasa
  2. muat turun menjadi dimuat turun, memuat turun
  3. ambil alih menjadi diambil alih, mengambil alin,  pengambilalihan.
  4. anak tiri menjadi dianaktirikan.
  5. rumah tangga menjadi berumah tangga.
  6. ibu bapa menjadi beribu bapa, keibubapaan 
Perlu juga dingatkan bahawa terdapat pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menggunakan ejaan yang betul pada kenderaan penguat kuasa masing-masing seperti:

        PENGUATKUASA
 Majlis Perbandaran Kemaman
  
          Kadang-kadang ada perkataan  ditulis rapat oleh pihak-pihak tertentu apabila dijadikan sebagai jenama atau nama khas, misalnya Pasaraya Maju, Dewan Bandaraya, Putrajaya, Universiti Putra Malaysia, mengikut sebagaimana ditetapkan atau didaftarkan.

Banyak lagi perkataan lain yang boleh disenaraikan di sini. Namun, melalui contoh-contoh ini diharap dapat dijadikan asas bagaimana mengeja  perkataan-perkataan tertentu yang membabitkan kata ganda. 



Selasa, 1 Oktober 2013

Kerajaan bukan rasis atau kerajaan tidak rasis?

Sejak akhir-akhir ini perkataan rasis menjadi popular kerana digunakan dalam pentas politik. Perkataan rasis ini ialah perkataan yang sinonim dengan perkataan "perkauman" yang dipinjamkan daripada perkataan Inggeris "racist". Akhbar tempatan menyiarkan kenyataan, "Perdana Menteri berkata bahawa kerajaan bukan rasis". Dalam keluaran yang lain pula menyebut, seorang Menteri Besar menafikan bahawa beliau tidak rasis !
Yang mana satu yang betul, bukan rasis atau tidak rasis?

Berdasarkan pengetahuan saya yang sedikit ini, dalam bahasa Melayu kata nafi hanya ada dua sahaja iaitu tidak dan bukan.

 Cuba teliti ayat -ayat ini:

1. Saya tidak makan. Saya bukan makan
2. Dia bukan orangnya. Dia tidak orangnya.
3.Yang mencuri itu bukan Ahmad tetapi Abu. Yang mencuri itu tidak Ahmad tetapi Abu
4.Kalau tidak sanggup jangan buat. Kalau bukan sanggup jangan buat.
5. Bukan senang kalau hendak kaya. Tidak senang kalau hendak kaya.

Jika kita membaca semua pasangan ayat di atas, tentu kita dapat tentukan yang mana satu ayat yang betul dan tepat dari segi  morfologinya. Ayat yang bergaris itu mungkin pilihan kita.

Frasa tidak makan (Ayat 1) terdiri daripada kata nafi  dengan kata kerja. Dalam ayat 2, frasa bukan orangnya terdiri daripada kata nafi dengan kata nama. Manakala ayat 3,  frasa tidak sanggup  terdiri daripada kata nafi dengan kata akjektif. 

Walau bagaimanapun ayat 5 berbeza kerana perkataan senang itu juga adalah kata adjektif tetapi boleh menggunakan kata nafi bukan.  Hal ini kerana  ayat ini membawa maksud bertentangan. Maknanya " Bukan senang kalau hendak kaya" (tetapi...). 

Sekarang jelaslah bahawa penggunaan kata nafi 'tidak' hanya dihubungkan dengan kata kerja/frasa kerja dan kata adjektif / frasa adjektif sahaja. Manakala kata nafi 'bukan' hanya dihubungkan dengan kata  nama atau frasa nama  sahaja. Jika ditukar ganti dengan kata nafi yang lain tentulah salah dan janggal bunyinya. Kita boleh kaji ayat-ayat lain seperti berikut:

6. Dia tidak hilang (hilang, kata adjektif) (bukan: Dia bukan hilang),
7. Dia tidak pandai (pandai, kata adjektif) bermain bola (bukan: Dia bukan pandai bermain bola).
8. Abu tidak terlalu tua (terlalu tua, frasa adjektif) untuk bermain bola( bukan: Abu bukan terlalu tua untuk bermain bola.
9 Itu arnab bukan kucing (kucing, kata nama) (bukan : Itu arnab tidak kucing),
10. Ayah mengantuk kerana tidak tidur  semalaman (tidur, kata kerja) ( bukan : Ayah mengantuk kerana bukan tidur semalaman.
11. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. (Ini ialah contoh peribahasa yang sudah mantap dan diterima umum, menggunakan kata nafi, tidak.

Oleh yang demikian, ayat "Kerajaan tidak rasis" adalah betul. Rasis ialah kata adjektif. Pihak media juga diharapkan perlu konsisten dalam penggunaan perkataan ini.

      Bagi mengukuhkan kemahiran penggunaan kata nafi ini dan frasa adjektif, dapatkah anda pastikan ayat-ayat yang betul di bawah:


  1. Jalan raya di kampung itu bukan sunyi sepi sekali selepas jam 12.00 tengah malam. (   )
  2. Walaupun dia bukan sangat pandai, dia sanggup membantu rakan-rakannya di kelas. (   )
  3. Abang memberitahu ayah bahawa dia bukan sekali sedih tetapi dia gembira kerana lulus periksa.      (   )
  4. Pelakon lelaki yang kacak itu bukan dari India tetapi dari Amerika. (   )

Jawapan: [ayat 3, ayat 4 ](heret/drag tetikus di ruang kosong )